Thursday, May 23rd

Last update07:43:05 PM GMT

You are here Umum Sukan

Sukan & Hiburan

Misi wajib menang!

  • PDF

Safiq akui menang lawan Hong Kong dan Bangladesh akan kembalikan keyakinan pemain dan peminat

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain selain bangkit mencatat kemenangan dalam baki dua perlawanan persahabatan bertemu Hong Kong malam ini dan Bangladesh Selasa depan - kedua-duanya di Stadium Shah Alam.

Kemenangan dalam kedua-dua perlawanan itu amat penting bagi mengembalikan semula sokongan peminat selain membuktikan kepada peminat betapa mereka sudah bersedia mempertahankan mahkota kejuaraan Piala AFF Suzuki selepas tewas dalam dua perlawanan persahabatan berturut-turut menentang Vietnam 1-0 dan Thailand 2-0.

 

Saya sedar banyak kritikan dilemparkan kepada kami selepas tewas kepada Vietnam dan Thailand, tetapi saya yakin semangat dan moral kami bertambah kuat untuk membuktikan keupayaan sebenar kami di kejohanan itu nanti," - Safiq


Walaupun Datuk K Rajagobal masih belum memuktamadkan lagi skuad utamanya, ia dilihat bukan masalah untuk Harimau Malaya sekali lagi membaham Hong Kong serta Bangladesh yang seharusnya tidak mendatangkan masalah buat pasukan kebangsaan.

“Kita perlu menang perlawanan ini,” kata kapten negara, Safiq Rahim yang turut mengakui pasukan kebangsaan kini seharusnya cukup bersedia berdepan mana-mana lawan dari rantau ini. “Ia penting untuk keyakinan kami dan juga keyakinan peminat.

Peminat senjata utama

“Pada peringkat ini saya rasa fokus utama kami ialah perlawanan pertama menentang Singapura 25 November nanti, tetapi pada masa sama baki dua perlawanan persahabatan ini perlu diakhiri dengan keputusan positif bagi mencetus keyakinan tinggi pemain.
“Saya sedar banyak kritikan dilemparkan kepada kami selepas tewas kepada Vietnam dan Thailand, tetapi saya yakin semangat dan moral kami bertambah kuat untuk membuktikan keupayaan sebenar kami di kejohanan itu nanti.”

Safiq, 25, adalah kapten pasukan kebangsaan ketika menjuarai Piala AFF Suzuki buat pertama kali dua tahun lalu. Ketika itu menurut Safiq, tekanan dan kritikan terhadap pasukan kebangsaan lebih hebat terutama selepas kekalahan 5-1 di tangan Indonesia pada perlawanan pertama.

“Kami sudah pernah mengalaminya (tekanan), malah ia jauh lebih berat dengan kejohanan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta. Tetapi kami berjaya mengharunginya hingga muncul juara dan tidak mustahil ia diulangi, apatah lagi di laman sendiri,” katanya.

“Saya harap kita menggunakan sepenuhnya peluang sebagai tuan rumah dan sokongan padu penyokong setia bola sepak negara pasti akan menjadi senjata utama skuad kebangsaan kali ini.”-- Berita Harian

Rahsia Ben 10

  • PDF

SIAPA sangka di sebalik kehebatan hero pujaan kanak-kanak, Ben Tennyson atau lebih dikenali sebagai Ben 10, terselit rahsia yang mengejutkan.

Rupa-rupanya, si peminjam suara untuk karakter popular itu adalah seorang wanita dikenali sebagai Tara Strong. Lebih mengejutkan, Tara bukanlah anak gadis, sebaliknya dia bakal mencapai usia 40 tahun, tahun depan.

Ternyata, pelbagai reaksi diterima wanita ini apabila peminat kecil Ben 10 mendapat tahu siapa sebenarnya identiti peminjam suara watak pujaan mereka itu.



“Saya seronok melihat reaksi kanak-kanak lelaki. Ada yang marah dan tidak dapat menerima kenyataan selepas mengetahui pemilik suara Ben 10 adalah seorang perempuan.

“Ini bermakna, saya sudah melaksanakan tugas yang baik selama ini,” katanya yang mula meminjam suara untuk pelbagai produksi sejak usia 13 tahun.

Menceritakan pembabitan awalnya, Tara dilaporkan berkata, dia dihantar menghadiri uji bakat untuk peranan Hello Kitty oleh ejen yang berpusat di Toronto. Nasib Tara baik apabila dia diterima menyumbangkan suara untuk watak itu.

Sepanjang pembabitan dalam industri ini, Tara paling menggemari peranannya sebagai Melodi dari animasi The Little Mermaid 2.
Sememangnya, sudah menjadi impian wanita ini untuk terbabit dalam animasi berkenaan.

Mengapa tidak, dia dapat bekerja di samping bintang pujaan, Jodi Benson yang juga seorang penyanyi soprano, pelakon dan penyumbang suara untuk pelbagai projek animasi.

Menurut Tara, untuk menjadi seorang pelakon suara, individu terbabit perlu melengkapkan diri dengan menghadiri kelas pemantapan suara.

“Hadirlah sebanyak mungkin kelas yang anda boleh. Ini kerana lakonan suara juga suatu cabang seni lakon. Kami bukan hanya bertanggung jawab menyumbang suara, malah perlu mengkaji babak atau adegan.

“Kita juga perlu tahu bagaimana hendak beraksi secara spontan dan menyanyi,” katanya yang seronok melakukan tugas ini kerana tidak terikat dengan rutin kerja pejabat.

Sementara itu, sepanjang menyumbangkan suara untuk pelbagai projek animasi, Tara melihat watak Ben berbeza daripada watak budak lelaki lain.

Menurutnya, Ben 10 adalah seorang budak lelaki angkuh, tidak pernah mengenali erti takut dan suka memperkecilkan orang lain. Baginya, Ben 10 juga mempunyai tahap keyakinan diri yang sangat tinggi.

 

-- Berita Harian

Djokovic bakal rampas status No 1 dunia daripada Federer

  • PDF

London: Novak Djokovic akan mengatasi Roger Federer selaku pemain tenis nombor satu dunia dalam kedudukan ranking dunia minggu depan dan dijamin akan mengekalkan kedudukan teratas itu sehingga hujung tahun ini, menurut kenyataan dikeluarkan Jelajah ATP.

Pemain kelahiran Serbia itu, yang kehilangan posisi utama itu kepada Federer Julai lalu akan menjadi pemain pertama dalam senarai ranking dunia menamatkan kedudukan buat kali kedua berturut-turut sejak lawan utamanya dari Switzerland itu melakukannya empat kali dari 2004 hingga 2007.

Djokovic sudah memenangi lima kejohanan tahun ini – termasuk Terbuka Australia dan gelaran Masters di Miami, Kanada dan Shanghai – serta sudah mengumpul sejumlah AS$6 juta (RM24.4 juta) wang hadiah kemenangan.

Pemain berusia 25 tahun itu yang dijadualkan beraksi dalam Masters Paris minggu ini akan hadir bersama trofi sebagai tanda kehadirannya di kejuaraan penutup musim di London.

UMS mula tunjuk taring

  • PDF

Nilai: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menguasai kutipan pingat pada hari pertama Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa, semalam.

Universiti Help di tangga kedua selepas memenangi satu emas, dua perak dan satu gangsa diikuti Universiti Sains Malaysia (USM) pada kedudukan ketiga dengan satu emas dan satu perak.

Dalam acara taekwondo, satu-satunya acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, atlit UMS, Raymond Toh Meng Hui cemerlang apabila meraih dua emas bagi kategori poomsae individu dan berpasukan lelaki, yang turut dianggotai Yeo Kok Siang serta Mohd Fakhrul Razi Sazzali.

Bagi acara poomsae individu, Raymond, 22, memungut 7.20 mata untuk menumpaskan atlit Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Chew Wei Yan, yang memungut 7.17 mata manakala pingat gangsa milik Too Lap Weng dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan 7.13 mata.

Saya bersyukur dan berpuas hati dengan prestasi hari ini (semalam). Sasaran selepas ini ialah meraih pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (SUA) di Laos pada Disember depan.

Namun, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum bertanding di Laos, kata Raymond yang mula aktif acara poomsae sejak Februari lalu di bawah bimbingan jurulatih Lee Min Hee dari Korea Selatan.

Dalam kategori poomsae berpasukan, trio UMS meraih tempat pertama dengan pungutan 7.53 mata, mengetepikan cabaran Universiti Help yang memperoleh 6.27 mata manakala atlit Universiti Teknologi Mara (UiTM) di tangga ketiga dengan 6.24 mata.
Raymond, pelajar ijazah sarjana muda jurusan sains sosial UMS berkata mensasarkan pingat emas dalam acara poomsae berpasukan pada temasya SUA di Laos kelak.

Sejumlah 10 pingat emas ditawarkan pada hari kedua SUKIPT hari ini, yang membabitkan lapan saingan akhir dalam acara renang dan dua bagi bowling.
BERNAMA

Arteta selamat maruah Arsenal

  • PDF

London: Mikel Arteta muncul wira Arsenal apabila meledak gol tunggal perlawanan untuk The Gunners menewaskan pasukan tercorot Queen Park Rangers yang beraksi 10 pemain, pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates malam tadi.

Selepas mengasak bertubi kali, Arsenal berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-84 apabila Arteta menyambar bola daripada keadaan kelam kabut di depan gol, selepas pemain QPR Stephane Mbia dibuang padang empat minit sebelum itu.



Kemenangan itu menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-burut Arsenal kepada Norwich dalam EPL dan Schalke 04 dalam Liga Juara-Juara sekali gus melonjak ke tangga keempat liga, manakala QPR terus kecewa dalam pemburuan kemenangan pertama musim ini dalam EPL.

Reading dan Fulham pula berkongsi mata dalam perlawanan yang berkesudahan 3-3 di Stadium Madejski, yang membuatkan pasukan tuan rumah masih gagal mencipta kemenangan pertama musim ini.

Jaringan Dimitar Berbatov dua minit sebelum perlawanan membolehkan Fulham mendahului dan tatkala kemenangan hampir dalam genggaman, Hal Robson-Kanu menjaringkan penyamaan.

Sementara itu Wigan mencatat kemenangan pertama di halaman sendiri apabila menundukkan West Ham 2-1.
Aston Villa pula terpaksa beraksi 10 orang dari awal separuh masa kedua selepas Joe Bennett diperintah keluar padang, tetapi masih mampu seri 1-1 dengan Norwich City di Villa Park.
Reuters. -- Berita Harian