Monday, May 20th

Last update07:43:05 PM GMT

You are here Ruangan Pembaca Rencana

Rencana

Pusat Kraftangan Sabah di Keningau tawar latihan percuma untuk penduduk luar bandar

  • PDF

Kraftangan

Keberkesanan program dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar bukan sahaja bergantung kepada peruntukan yang besar bagi memastikan kejayaan program-program tersebut tetapi juga bergantung kepada komitmen dari pihak pelaksana, kumpulan sasar dan semua pihak yang terlibat.

Di Sabah sebagai contoh, inisiatif yang dipercayai boleh mencapai hala tuju pembangunannya disasarkan kepada industri pelancongan sebagai satu sumber yang boleh menjana pembangunan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, hasrat kerajaan Negeri dan Persekutuan telah direalisasikan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui pelaksanaan pelbagai program di peringkat Zon. Antaranya Program Pembangunan Intelek dan Minda, Pembangunan Sosio Budaya dan Pembangunan Sosio Ekonomi bagi kepentingan penduduk negeri ini.

Menerusi program Pembangunan Sosio Ekonomi, Kumpulan Yayasan Sabah di peringkat Zon telah melaksanakan program latihan kraftangan di beberapa daerah yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Kumpulan Yayasan Sabah menjadikan industri kraftangan sebagai salah satu sub elemen menjana industri tersebut berkembang maju. Peranan Kumpulan Yayasan Sabah sebagai agensi yang membantu kerajaan meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar khususnya, selaras dengan hasrat kerajaan Negeri di bawah projek Pembangunan Koridor Sabah (SDC).

Dengan mengambil kira program pembangunan industri kraftangan yang telah lama dilaksanakan oleh Kumpulan yayasan Sabah, ketua Menteri sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah telah mencetuskan idea untuk membina satu pusat kraftangan di negeri ini sebagai menyokong dan membangunkan industri kraftangan ke peringkat global.

Bagi merealisasikan idea tersebut bangunan Pusat Kraftangan Sabah yang menelan belanja sekitar RM30 juta telah siap dibina di Keningau. Pembinaan Pusat Kraftangan Sabah tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Yayasan Sabah.

Keningau dipilih sebagai lokasi pembinaan bangunan Pusat Kraftangan Sabah berdasarkan aktiviti yang melibatkan produk kraf banyak terdapat di daerah itu di samping sumber bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan produk juga banyak terdapat di sekitar dan daerah-daerah berdekatannya.

Pada 29 Disember 2011, Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Bin Datu Haji Jamalul telah menerima secara rasminya penyerahan bangunan Pusat Kraftangan Sabah daripada pihak pemaju.

Ketika ini, kerja-kerja pengubahsuaian bagi menempatkan Pejabat Zon Pedalaman Utara, Pejabat Bahagian Perhutanan Keningau dan Pejabat Kristal Handal Sdn. Bhd yang dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam pembangunan industri kraftangan telah siap dilaksanakan.

Pelbagai keistimewaan terdapat di Pusat Kraftangan Sabah, antaranya program latihan percuma, mesin dan peralatan memproses bahan mentah, ruang latihan yang besar lengkap dengan pelbagai kemudahan, jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman, pejabat Kumpulan Yayasan Sabah bagi memudahkan masyarakat setempat berurusan serta kawasan lapang yang luas untuk menjalankan pelbagai aktiviti kraf seperti tamu kraftangan, karnival kraf dan lain-lain.

Mengenai hasrat Ketua Menteri yang inginkan kraftangan keluaran Sabah pergi jauh ke peringkat global selain latihan, faktor kualiti dan pasaran perlu diberi perhatian khusus untuk memastikan hala tuju produk kraf negeri ini mampu bersaing dan setanding dengan hasil keluaran negara lain.

Dari segi peningkatan kualiti, amat perlu difikirkan bahawa penghasilan kraftangan tempatan itu mampu memenuhi kehendak pengguna dan penggemar. Ia dapat diterima dalam kalangan masyarakat sebagai gaya hidup harian sama ada untuk kegunaan sendiri, hiasan atau bahan cendera kenangan.

Skop penggunaan produk kraftangan diperluaskan sama ada untuk di rumah, pejabat, hotel taman dan lain-lain. Kraftangan yang popular antaranya ialah aksesori manik, hasil seni ukir berasaskan kayu, tembikar, rotan, kraf etnik, kraf anyaman, batik, songket selain cendera kenangan berasaskan permainan rakyat, sompoton, gasing dan sebagainya.

Mengenai pembaharuan rekaan, hasil kraf tempatan perlu mengambil kira keadaan semasa iaitu disesuaikan dengan masa kini. Diberi sentuhan moden tetapi masih mengekalkan keaslian kerana kraftangan adalah warisan nenek moyang sejak zaman berzaman contohnya, batik sarung atau batik lepas. Sekarang ini, batik sarung sudah tidak ramai yang memakainya di rumah-rumah, mereka lebih selesa memakai seluar panjang/pendek daripada kain sarung.

Jika ingin bersain di peringkat global, sentuhan kreativiti antara elemen yang perlu diterapkan dalam penghasilan kraf untuk menarik minat penggemar tempatan dan luar negara khususnya pelancong. Lazimnya pelancong tempatan dan asing yang bercuti atau melawat destinasi pelancongan tentunya tidak melepaskan peluang membeli cendera kenangan produk kraf dijadikan hadiah mahupun koleksi peribadi.

Ketiga-tiga elemen iaitu peningkatan kualiti, kreativiti penghasilan dan pembaharuan rekaan semuanya bergantung kepada latihan yang disediakan. Dengan adanya Pusat Kraftangan Sabah yang menyediakan pelbagai kemudahan peralatan dan latihan yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat, sudah pasti pasaran industri kraf dapat diperluaskan di dalam dan luar negara.

Badan-badan korporat seperti hotel, resort, bank dan lain-lain digalak menggunakan hasil kraf sebagai bahan cendera kenangan. Dengan cara ini secara langsung, dapat memperluaskan lagi pengedaran produk kraf tempatan.

Melalui pusat kraf ini hasil kraftangan akan dinaiktaraf dan dipelbagaikan rekaannya sebagai seni kontemporari bermotifkan tradisi pelbagai kaum, di samping mengekalkan budaya nenek moyang agar tidak pupus ditelan zaman. Contohnya penghasilan aksesori manik, ia sebenarnya boleh digabungkan dengan bahan lain dan konsep moden untuk menghasilkan rekaan baru.

Ada juga penggiat kraftangan yang menceburi bidang ini sebagai hobi dan hanya untuk meneruskan kesinambungan budaya keluarga. Tetapi minat yang ada itu jika dikembangkan dengan menyertai latihan di pusat kraf, sudah pasti boleh memberi pulangan lumayan dan sekaligus menaikkan taraf ekonomi keluarga.

Penduduk luar bandar yang tinggal berhampiran pusat kraf dan di seluruh negeri ini khususnya wanita, golongan belia dan beliawanis yang berminat dalam bidak seni kraf dipelawa mengikuti latihan di Pusat Kraftangan Sabah secara percuma.

Kesungguhan Kerajaan Negeri dan Pusat khususnya Kumpulan Yayasan Sabah untuk memastikan industri kraf terus unggul, berkembang maju, berdaya saing dan mempunyai mutu komersil telah diterjemahkan menerusi peruntukan yang besar.

Oleh itu, kepada sesiapa yang berminat dengan produk kraf rebutlah peluang keemasan ini kerana ia bukan sahaja meneruskan kesinambungan budaya generasi terdahulu malah dilihat sebagai penggerak sosio ekonomi pengusaha itu sendiri.

Dengan melahirkan pengusaha produk kraf yang mahir dan berilmu, peluang pekerjaan sentiasa terbuka luas kepada mereka.

Sumber : Harian Ekspres

Suburkan dialog dan debat intelektual

  • PDF

Rakyat pada hari ini mempunyai selera politik yang berbeza berbanding dahulu. Mereka lebih cenderung menilai agenda yang ditawarkan oleh parti-parti politik dan seterunya memilih parti yang mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.

Mereka bukan lagi taasub kepada satu parti politik, hasilnya, setiap parti politik berusaha keras merencanakan agenda yang dibawa bagi memastikan persepsi positif pengundi sentiasa konsisten terhadap mereka.

Political will (keazaman politik) bagi sesebuah parti politik menjadi satu perkara yang penting bagi rakyat menilai kesungguhan parti politik membawa agenda yang telah direncanakan iaitu bukan sekadar omongan kosong, ia perlu direalisasikan.

Salah satu usaha yang mesti diambil perhatian bagi memenuhi tuntutan budaya politik baru ini ialah dengan menyuburkan dialog dan debat intelektual secara terbuka tanpa ada manipulasi dari pihak tertentu dari sudut maklumat. Ini sangat penting bagi memastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang segar dan telus.

Bukanlah budaya baru

Dialog dan debat intelektual bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Mungkin diMalaysia ia agak kurang popular, kerana adanya sikap ketidak terbukaan parti politik dalam menganjurkan dialog dan debat intelektual, dan juga ketelusan media arus perdana dalam menyiarkan debat dan dialog tersebut.

Jika kita menyoroti sejarah, bagaimana kisah nabi Musa a.s. ketika berhadapan dengan puluhan ribu ahli sihir yang dikumpulkan oleh Firaun untuk mengalahkan baginda. Walaupun dari sudut keadilan boleh dipertikaikan kerana puluhan ribu ahli sihir melawan seorang nabi, akan tetapi perkara yang menarik ialah pertandingan ini secara terbuka dengan kehadiran pembesar negara dan rakyat jelata dari seluruh Mesir. Penonton dapat menilai secara langsung pihak yang benar dan pihak yang batil.

Kita juga masih ingat bagaimana John McCain berhadapan dengan Obama dalam Final US Presidential Debate. Ketenangan yang dibawa oleh Obama dan cemasnya McCain telah memberikan satu klu kepada pengundi, siapakah yang sebenarnya layak dipilih sebagai presiden di samping keyakinan Obama dalam menyampaikan agenda yang mahu dibawa untuk membangunkan Amerika.

Perlu disuburkan

Harga petrol yang dijadikan isu perdebatan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek cukup memberi impak yang besar kepada rakyat. Dengan jelas dan telus rakyat dapat menyaksikan bagaimana hujah yang dilontarkan oleh pemimpin dari pemerintah dan juga pembangkang dalam membela nasib rakyat.

Kesediaan PAS dalam berdialog dengan mana-mana komponena BN menunjukkan kematangan politik yang wujud dalam PAS. Menurut Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas sesi dialog yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.

Tidak kurang hebat juga dengan ajakan debat satu sama satu secara terbuka oleh Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin, Menteri Pembangunan Wilayah dan Pembangunan Bandar kepada anggota parlimen pembangkang berhubung isu penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai skim perumahan kos rendah.

Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian. Mereka berhujah dan mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal 8 tahun lagi. Sayang sekali debat tersebut dianjurkan di luar Malaysia.

Budaya ini juga mesti disuburkan di dalam kampus, ketepikan dahulu isu AUKU yang sempit. Kita ketengahkan agenda memperkayakan minda mahasiswa. Pihak pentadbiran sewajarnya memberi galakan kepada mahasiswa menganjurkan dialog dan debat intelektual bukannya menyekat secara membuta-tuli. Apa salahnya kita tokoh-tokoh politik seperti Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook diundang berdialog di pusat pengajian tinggi? Jawapannya tentu sekali tidak salah, kerana pentadbiran pusat pengajian tinggi sepatutnya tidak ada kepentingan dalam politik.

Harapan anak muda

Oleh sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melalui Majlis Politik Nasional (MPN) pernah menawarkan diri sebagai penganjur debat terbuka antara Dato Seri Najib Tun Razak dengan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Dialog dan debat intelektual salah satu pemangkin kepada pendidikan politik. Sasaran yang ingin dicapai dalam pendidikan politik ialah wujudnya wa’yu siyasi (kesedaran politik) dalam setiap diri individu. Kita juga mengharapkan media arus perdana selaku medium pengantar maklumat memainkan peranan secara telus dan adil tanpa ada manipulasi dari sudut maklumat.

GAMIS sangat optimis sekiranya budaya ini disuburkan, di Malaysia akan wujudnya parti politik yang mempunyai keazaman politik yang tinggi dan rakyat tersedia dengan pendidikan politik yang baik, dikukuhkan dengan sistem pilihanraya yang telus dan adil. Seterusnya melahirkan politik baru Malaysia.

GAMIS Inspirasi Anak Muda!

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan GAMIS

Mengurus Masa

  • PDF

Kenapa kita perlu mengurus masa? Kata Dr Taufiq Al Wa'ei...sekiranya kita dapat mengurus masa kita dengan baik maka kita dapat melakukan banyak kerja atau tanggungjawab dalam suatu masa. As Syahid Hassan al Banna menyebutkan bahawa ..... Mukmin mempunyai tanggungjawab lebih dari masa yang ada.

Akhlak Dan Kehidupan Anak Muda Hari Ini

  • PDF

SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) -- Ramai yang merasakan generasi muda hari ini, tanpa mengira bangsa dan kepercayaan agama, semakin tidak mempercayai nilai kehidupan ideal yang dijalani nenek moyang mereka.