Wednesday, May 22nd

Last update07:43:05 PM GMT

You are here Ruangan Pembaca Aduan Rakyat

Aduan Rakyat

Jalan beraspal kampung perlu dipantau tiap tahun

  • PDF

KENINGAU, 17 Mac: Jalan beraspal terutama di perkampungan perlu dipantau setiap tahun bagi memastikan keadaan jalan berada dalam keadaan yang baik dan selesa digunakan. Ini kerana tidak seperti jalan utama jalan beraspal di perkampungan kebiasaannya sentiasa terdedah kepada kerosakan seperti retakan dan lubang yang menyukarkan pengguna kenderaan.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) Keningau, Harri Gitik berkata, keadaan jalan di perkampungan di kawasan luar bandar perlu dipantau dan diperbaiki memandangkan ia merupakan keperluan utama masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan di Kampung Bingkor Lama atas inisiatif Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan, Sumit Jood. Turut menyertai beliau AJK BN Keningau, S. Cornelius Lasim.

Menurut Harry, masalah di Kampung Bingkor Lama akan diambil perhatian dan akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan agar diambil tindakan segera.

“Rungutan mengenai masalah kampung ini perlu diambil tindakan kerana pengguna jalan mengadu kenderaan mereka rosak disebabkan oleh keadaan jalan yang begitu menyedihkan, malahan ada yang termasuk ke dalam lubang apabila hujan turun dengan lebat kerana tidak melihat kerosakan tersebut,” ujar Harry.

Kemudahan di Bingkor tunggu masa untuk dibaiki : Adun

  • PDF

KENINGAU : Adun Bingkor, Datuk Justin Guka berkata, rakyat akan terus menyokong kerajaan walaupun menyaksikan beberapa kelewatan dalam kerja menaik taraf kemudahan.

Katanya, permintaan daripada penduduk sekitar Bingkor di sini supaya jalan raya, jambatan, jambatan gantung dan juga perhentian bas dan balai raya mereka dibaiki, sebenarnya sedang menunggu untuk diproses.

“Peruntukan sebenarnya sudah diberi, dan hanya menunggu masa untuk semua kemudahan itu dibaiki,” katanya.

Sementara itu, seorang wakil Ketua Kampung Kg Kota Ayangan berkata, jambatan papan yang dibina pada 80-an masih belum ditukar kepada jambatan besi walaupun banyak aduan telah dikemukakan kepada pemimpin seperti Datuk Sairin Karno, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Justin.

Sumber : Harian Ekspres

 

Pihak berwajib diminta segera baiki jalan raya di Kg Tiga Bundu Apin-Apin

  • PDF

KENINGAU: Penduduk Kampung Tiga Bundu Apin-Apin merayu kepada pihak yang berkenaan agar membaiki jalan raya ke kawasan kebun mereka yang kini rosak teruk dan sukar dilalui oleh kenderaan.

Jurucakap penduduk, Matius Bagang berkata, jalan raya yang menjadi keperluan kira-kira 200 penduduk yang kebanyakannya petani sudah sekian lama rosak dan sukar dilalui oleh sebarang kenderaan menyebabkan golongan petani di kawasan itu sukar mengeluarkan hasil pertanian mereka seperti sawit, getah halia.

Katanya, masalah kerosakan jalan raya itu telah dikemukakan kepada pihak yang berkenaan tetapi sehingga kini masih belum ada tindakan yang diambil.

Sebelum ini katanya, penduduk di kampung itu telah membaiki jalan raya itu dengan kos yang dikutip dari penduduk kampung, tetapi kini ia rosak lagi.

Penduduk di kampung itu katanya, rata-rata penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak akan menyokong pembangkang walaupun mereka menghadapi masalah jalan raya.

“Tetapi penduduk berharap kepada Kerajaan agar mengambil tindakan dan mengatasi masalah itu dan sekurang-kurangnya menabur batu kelikir bagi memudahkan penduduk mengeluarkan hasil pertanian mereka” kata Kawos.

Kawasan Program Mikro Mesej terbiar

  • PDF

KENINGAU, 29 Feb : Kawasan Program Mikro Mesej yang terletak di Kampung Liau Darat di sini, kini mulai ditumbuhi semak menjadi tanda tanya apakah perkembangan terkini mengenai program yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat.

Program yang memberi keutamaan kepada pembasmian kemiskinan di kalangan rakyat itu sangat dialu-alukan namun keadaan fizikal kawasan di tapak itu menjadi persoalan.

Hasil maklumat orang ramai yang prihatin dengan perkembangan program tersebut New Sabah Times telah membuat tinjauan dan mendapati kawasan itu bukan sahaja terbiar tetapi  turut dirosakkan.

Difahamkan seramai sembilan bakal menduduki penempatan Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Mikro Mesej Apin Apin yang bertempat di Kampung Liau Darat, 14 KM dari sini.

Setiap peserta atau Ketua Isi Rumah (KIRT) akan mendiami sebuah rumah PBR dengan 5 ekar tanah yang ditanam dengan tanah.

Dengan keadaan tapak Mikro Mesej yang terbiar ditumbuhi semak samun ramai yang berpendapat program tersebut sebagai gajah putih. Rumah-rumah telah disiapkan lengkap dengan pendawaian elektrik namun semak telah menenggelami perumahan itu.

Difahamkan sepatutnya pada tahun lalu diadakan cabutan kunci kepada peserta terpilih, namun telah ditangguhkan.

“Program yang dilaksanakan oleh kerajaan ini sememangnya sangat baik untuk rakyat, apatah lagi peserta diberikan sebuah rumah dan tanaman getah yang boleh meningkatkan taraf hidup, namun bilakah penempatan ini dimulakan, kerana kita khuatir jika ianya terbiar begitu sahaja rumah-rumah yang cantik akan rosak disebabkan oleh semak yang mulai masuk ke rumah,” kata Rita, seorang penduduk berhampiran.

Katanya, pihak pelaksana yang terbabit seharusnya sering memantau perkembangan tapak itu kerana penduduk berhampiran tidak mahu dipersalahkan jika sesuatu berlaku kerosakan terhadap tapak itu.

Pagar-pagar bagi tanaman getah di tapak itu juga telah roboh. Sementara pintu masuk ke kawasan itu rosak.

Sebanyak sembilan buah unit rumah PBR yang lengkap dengan pendawaian, kipas dan paip juga tidak berkunci. Ini sudah tentu mengundang kepada pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jalan masuk ke kawasan itu juga telah menjadi tempat pembuangan sampah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Getah yang ditanam dua tahun yang lalu juga tidak kelihatan. Hasil tinjauan tidak kesemua getah yang ditanam tumbuh.

New Sabah Times akan mendapatkan maklum balas dari pihak pelaksana dalam masa terdekat untuk mendapatkan gambaran sebenar apakan sebenarnya yang berlaku ke atas program itu.

Difahamkan peserta untuk program itu telah pun disenaraikan dan hanya menunggu masa untuk dipanggil membuat cabutan kunci.

Sumber : New Sabah Times

 

Waktu berniaga di pasar malam tidak dikurangkan : MDK

  • PDF

Majlis Daerah Keningau (MDK) menafikan dakwaan seorang peniaga bahawa Majlis telah mengurangkan waktu berniaga di pasar malam di pekan itu.

Peniaga tersebut mendakwa peniaga sebelum ini dibenarkan untuk mula menual barangan mereka pada 4 petang tetapi kini diarahkan untuk membuka gerai pada 4.30 petang.

Pentadbiran MDK menyatakan bahawa pasar malam itu memang bermula pada 4.30 petang dan ia sudah diamalkan bertahun lamanya.

Jurucakap kepada agensi itu berkata sebelum ini, waktu pembukaan ditetapkan pada 5 petang.

Dia berkata MDK mengekalkan waktu operasi dari 4.30 petang hingga 11 malam, agar bertindak adil kepada mereka yang membuka kedai berdekatan pasar itu.

“Berbanding penjaja, pemilik kedai menanggung kos operasi yang lebih tinggi, termasuk cukai dan lesen kepada MDK,” katanya.

“Pemilik kedai juga perlu diberi peluang untuk mencari pendapatan.”

Jurucakap itu berkata MDK, setakat ini, menerima permohonan daripada penjaja untuk mengubah waktu operasi itu.

“Sewajarnya, mereka menghantar surat kepada kami, jika mereka enggan tampil dan berbincang mengenai isu ini dengan pegawai kami.”

MIN dan Keningau mendakwa pengurangan masa itu menjejaskan penjaja yang memerlukan masa untuk membuka gerai mereka.

“Disebabkan kami memulakan operasi setengah jam lebih lewat, pendapatan kami menyusut sehingga 75 peratus,” dakwanya.

“Ini adalah kerana kebanyakan pelanggan kami datang antara 4 petang hingga 7.30 malam. Kebanyakan pengunjung tidak mahu datang lebih awal disebabkan oleh kesesakan di kawasan itu.”

Dia berkata terdapat lebih 380 penjaja yang membuka gerai di pasar malam tersebut.

Min merayu kepada MDK agar membenarkan penjaja memulakan perniagaan lebih awal.

“Jika tidak, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan yuran harian. Kami membayar antara RM1 dan RM8 untuk sebuah lot di pasar malam.”

Sumber : Harian Ekspres