Sunday, May 26th

Last update07:43:05 PM GMT

You are here Ruangan Pembaca

Jalan beraspal kampung perlu dipantau tiap tahun

  • PDF

KENINGAU, 17 Mac: Jalan beraspal terutama di perkampungan perlu dipantau setiap tahun bagi memastikan keadaan jalan berada dalam keadaan yang baik dan selesa digunakan. Ini kerana tidak seperti jalan utama jalan beraspal di perkampungan kebiasaannya sentiasa terdedah kepada kerosakan seperti retakan dan lubang yang menyukarkan pengguna kenderaan.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) Keningau, Harri Gitik berkata, keadaan jalan di perkampungan di kawasan luar bandar perlu dipantau dan diperbaiki memandangkan ia merupakan keperluan utama masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan di Kampung Bingkor Lama atas inisiatif Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan, Sumit Jood. Turut menyertai beliau AJK BN Keningau, S. Cornelius Lasim.

Menurut Harry, masalah di Kampung Bingkor Lama akan diambil perhatian dan akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan agar diambil tindakan segera.

“Rungutan mengenai masalah kampung ini perlu diambil tindakan kerana pengguna jalan mengadu kenderaan mereka rosak disebabkan oleh keadaan jalan yang begitu menyedihkan, malahan ada yang termasuk ke dalam lubang apabila hujan turun dengan lebat kerana tidak melihat kerosakan tersebut,” ujar Harry.

Kemudahan di Bingkor tunggu masa untuk dibaiki : Adun

  • PDF

KENINGAU : Adun Bingkor, Datuk Justin Guka berkata, rakyat akan terus menyokong kerajaan walaupun menyaksikan beberapa kelewatan dalam kerja menaik taraf kemudahan.

Katanya, permintaan daripada penduduk sekitar Bingkor di sini supaya jalan raya, jambatan, jambatan gantung dan juga perhentian bas dan balai raya mereka dibaiki, sebenarnya sedang menunggu untuk diproses.

“Peruntukan sebenarnya sudah diberi, dan hanya menunggu masa untuk semua kemudahan itu dibaiki,” katanya.

Sementara itu, seorang wakil Ketua Kampung Kg Kota Ayangan berkata, jambatan papan yang dibina pada 80-an masih belum ditukar kepada jambatan besi walaupun banyak aduan telah dikemukakan kepada pemimpin seperti Datuk Sairin Karno, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Justin.

Sumber : Harian Ekspres

 

Pihak berwajib diminta segera baiki jalan raya di Kg Tiga Bundu Apin-Apin

  • PDF

KENINGAU: Penduduk Kampung Tiga Bundu Apin-Apin merayu kepada pihak yang berkenaan agar membaiki jalan raya ke kawasan kebun mereka yang kini rosak teruk dan sukar dilalui oleh kenderaan.

Jurucakap penduduk, Matius Bagang berkata, jalan raya yang menjadi keperluan kira-kira 200 penduduk yang kebanyakannya petani sudah sekian lama rosak dan sukar dilalui oleh sebarang kenderaan menyebabkan golongan petani di kawasan itu sukar mengeluarkan hasil pertanian mereka seperti sawit, getah halia.

Katanya, masalah kerosakan jalan raya itu telah dikemukakan kepada pihak yang berkenaan tetapi sehingga kini masih belum ada tindakan yang diambil.

Sebelum ini katanya, penduduk di kampung itu telah membaiki jalan raya itu dengan kos yang dikutip dari penduduk kampung, tetapi kini ia rosak lagi.

Penduduk di kampung itu katanya, rata-rata penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak akan menyokong pembangkang walaupun mereka menghadapi masalah jalan raya.

“Tetapi penduduk berharap kepada Kerajaan agar mengambil tindakan dan mengatasi masalah itu dan sekurang-kurangnya menabur batu kelikir bagi memudahkan penduduk mengeluarkan hasil pertanian mereka” kata Kawos.

Kawasan Program Mikro Mesej terbiar

  • PDF

KENINGAU, 29 Feb : Kawasan Program Mikro Mesej yang terletak di Kampung Liau Darat di sini, kini mulai ditumbuhi semak menjadi tanda tanya apakah perkembangan terkini mengenai program yang telah dirancang untuk kesejahteraan rakyat.

Program yang memberi keutamaan kepada pembasmian kemiskinan di kalangan rakyat itu sangat dialu-alukan namun keadaan fizikal kawasan di tapak itu menjadi persoalan.

Hasil maklumat orang ramai yang prihatin dengan perkembangan program tersebut New Sabah Times telah membuat tinjauan dan mendapati kawasan itu bukan sahaja terbiar tetapi  turut dirosakkan.

Difahamkan seramai sembilan bakal menduduki penempatan Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Mikro Mesej Apin Apin yang bertempat di Kampung Liau Darat, 14 KM dari sini.

Setiap peserta atau Ketua Isi Rumah (KIRT) akan mendiami sebuah rumah PBR dengan 5 ekar tanah yang ditanam dengan tanah.

Dengan keadaan tapak Mikro Mesej yang terbiar ditumbuhi semak samun ramai yang berpendapat program tersebut sebagai gajah putih. Rumah-rumah telah disiapkan lengkap dengan pendawaian elektrik namun semak telah menenggelami perumahan itu.

Difahamkan sepatutnya pada tahun lalu diadakan cabutan kunci kepada peserta terpilih, namun telah ditangguhkan.

“Program yang dilaksanakan oleh kerajaan ini sememangnya sangat baik untuk rakyat, apatah lagi peserta diberikan sebuah rumah dan tanaman getah yang boleh meningkatkan taraf hidup, namun bilakah penempatan ini dimulakan, kerana kita khuatir jika ianya terbiar begitu sahaja rumah-rumah yang cantik akan rosak disebabkan oleh semak yang mulai masuk ke rumah,” kata Rita, seorang penduduk berhampiran.

Katanya, pihak pelaksana yang terbabit seharusnya sering memantau perkembangan tapak itu kerana penduduk berhampiran tidak mahu dipersalahkan jika sesuatu berlaku kerosakan terhadap tapak itu.

Pagar-pagar bagi tanaman getah di tapak itu juga telah roboh. Sementara pintu masuk ke kawasan itu rosak.

Sebanyak sembilan buah unit rumah PBR yang lengkap dengan pendawaian, kipas dan paip juga tidak berkunci. Ini sudah tentu mengundang kepada pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jalan masuk ke kawasan itu juga telah menjadi tempat pembuangan sampah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Getah yang ditanam dua tahun yang lalu juga tidak kelihatan. Hasil tinjauan tidak kesemua getah yang ditanam tumbuh.

New Sabah Times akan mendapatkan maklum balas dari pihak pelaksana dalam masa terdekat untuk mendapatkan gambaran sebenar apakan sebenarnya yang berlaku ke atas program itu.

Difahamkan peserta untuk program itu telah pun disenaraikan dan hanya menunggu masa untuk dipanggil membuat cabutan kunci.

Sumber : New Sabah Times

 

Waktu berniaga di pasar malam tidak dikurangkan : MDK

  • PDF

Majlis Daerah Keningau (MDK) menafikan dakwaan seorang peniaga bahawa Majlis telah mengurangkan waktu berniaga di pasar malam di pekan itu.

Peniaga tersebut mendakwa peniaga sebelum ini dibenarkan untuk mula menual barangan mereka pada 4 petang tetapi kini diarahkan untuk membuka gerai pada 4.30 petang.

Pentadbiran MDK menyatakan bahawa pasar malam itu memang bermula pada 4.30 petang dan ia sudah diamalkan bertahun lamanya.

Jurucakap kepada agensi itu berkata sebelum ini, waktu pembukaan ditetapkan pada 5 petang.

Dia berkata MDK mengekalkan waktu operasi dari 4.30 petang hingga 11 malam, agar bertindak adil kepada mereka yang membuka kedai berdekatan pasar itu.

“Berbanding penjaja, pemilik kedai menanggung kos operasi yang lebih tinggi, termasuk cukai dan lesen kepada MDK,” katanya.

“Pemilik kedai juga perlu diberi peluang untuk mencari pendapatan.”

Jurucakap itu berkata MDK, setakat ini, menerima permohonan daripada penjaja untuk mengubah waktu operasi itu.

“Sewajarnya, mereka menghantar surat kepada kami, jika mereka enggan tampil dan berbincang mengenai isu ini dengan pegawai kami.”

MIN dan Keningau mendakwa pengurangan masa itu menjejaskan penjaja yang memerlukan masa untuk membuka gerai mereka.

“Disebabkan kami memulakan operasi setengah jam lebih lewat, pendapatan kami menyusut sehingga 75 peratus,” dakwanya.

“Ini adalah kerana kebanyakan pelanggan kami datang antara 4 petang hingga 7.30 malam. Kebanyakan pengunjung tidak mahu datang lebih awal disebabkan oleh kesesakan di kawasan itu.”

Dia berkata terdapat lebih 380 penjaja yang membuka gerai di pasar malam tersebut.

Min merayu kepada MDK agar membenarkan penjaja memulakan perniagaan lebih awal.

“Jika tidak, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan yuran harian. Kami membayar antara RM1 dan RM8 untuk sebuah lot di pasar malam.”

Sumber : Harian Ekspres

Penjaja pasar malam mahu MDK kekalkan waktu niaga

  • PDF

KENINGAU: Seramai 386 penjaja pasar malam di sini menggesa Majlis Daerah Keningau (MDK) mengekalkan waktu berniaga mereka dari pukul 4 petang sehingga 11 malam setiap hari dan tidak memendekkannya.

Pengerusi Persatuan Pasar Malam Keningau, Amin Salogong, berkata penjaja di pasar malam di sini mula mengadu berikutan keputusan MDK mengubah waktu berniaga mereka dari 4.30 petang hingga 11.00 malam.

“Ini kerana, sebagai penjaja pasar malam, selain pengurangan 30 minit oleh MDK itu, kami kehilangan 30minit lagi untuk memasang dan menyusun gerai serta barangan, “ katanya.

Amin berkata, sejak penguatkuasaan dibuat MDK memotong 30 minit daripada waktu berniaga mereka, pendapatan purata penjaja di sini telah berkurangan pada purata 75 peratus.

Ini katanya kerana waktu kemuncak pengunjung ke pasar malam itu adalah dari pukul 4 petang hingga 7.30 malam, ketika mana ramai orang datang lebih awal untuk mengelak kesesakan di kawasan itu, lebih-lebih lagi semasa kakitangan awam habis waktu pejabat.

Dengan itu, katanya para penjaja pasar malam di sini merayu kepada MDK supaya waktu asal itu dikuatkuasakan semula, jika tidak bayaran sewa yang mereka bayar kepada MDK haruslah dikurangkan.

Sekarang ini, sewa harian bagi satu lot gerai adalah antara RM1 hingga RM8 mengikut nombor lot dan jenis perniagaan yang dijalankan di pasar malam Keningau itu.

“Bayangkan sahaja, bagi seorang penjaja yang sewanya RM7, dalam masa satu tahun jumlah keseluruhan yang dibayarnya adalah RM2,520. Bagaimanapun, kami tidak kisah tentang jumlah sewa itu sekiranya waktu perniagaan itu dikembalikan kepada asalnya,” kata Amin.

Sumber : Harian Ekspres

 

Pusat Kraftangan Sabah di Keningau tawar latihan percuma untuk penduduk luar bandar

  • PDF

Kraftangan

Keberkesanan program dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar bukan sahaja bergantung kepada peruntukan yang besar bagi memastikan kejayaan program-program tersebut tetapi juga bergantung kepada komitmen dari pihak pelaksana, kumpulan sasar dan semua pihak yang terlibat.

Di Sabah sebagai contoh, inisiatif yang dipercayai boleh mencapai hala tuju pembangunannya disasarkan kepada industri pelancongan sebagai satu sumber yang boleh menjana pembangunan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, hasrat kerajaan Negeri dan Persekutuan telah direalisasikan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui pelaksanaan pelbagai program di peringkat Zon. Antaranya Program Pembangunan Intelek dan Minda, Pembangunan Sosio Budaya dan Pembangunan Sosio Ekonomi bagi kepentingan penduduk negeri ini.

Menerusi program Pembangunan Sosio Ekonomi, Kumpulan Yayasan Sabah di peringkat Zon telah melaksanakan program latihan kraftangan di beberapa daerah yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Kumpulan Yayasan Sabah menjadikan industri kraftangan sebagai salah satu sub elemen menjana industri tersebut berkembang maju. Peranan Kumpulan Yayasan Sabah sebagai agensi yang membantu kerajaan meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar khususnya, selaras dengan hasrat kerajaan Negeri di bawah projek Pembangunan Koridor Sabah (SDC).

Dengan mengambil kira program pembangunan industri kraftangan yang telah lama dilaksanakan oleh Kumpulan yayasan Sabah, ketua Menteri sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah telah mencetuskan idea untuk membina satu pusat kraftangan di negeri ini sebagai menyokong dan membangunkan industri kraftangan ke peringkat global.

Bagi merealisasikan idea tersebut bangunan Pusat Kraftangan Sabah yang menelan belanja sekitar RM30 juta telah siap dibina di Keningau. Pembinaan Pusat Kraftangan Sabah tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Yayasan Sabah.

Keningau dipilih sebagai lokasi pembinaan bangunan Pusat Kraftangan Sabah berdasarkan aktiviti yang melibatkan produk kraf banyak terdapat di daerah itu di samping sumber bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan produk juga banyak terdapat di sekitar dan daerah-daerah berdekatannya.

Pada 29 Disember 2011, Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Bin Datu Haji Jamalul telah menerima secara rasminya penyerahan bangunan Pusat Kraftangan Sabah daripada pihak pemaju.

Ketika ini, kerja-kerja pengubahsuaian bagi menempatkan Pejabat Zon Pedalaman Utara, Pejabat Bahagian Perhutanan Keningau dan Pejabat Kristal Handal Sdn. Bhd yang dipertanggungjawabkan untuk membantu dalam pembangunan industri kraftangan telah siap dilaksanakan.

Pelbagai keistimewaan terdapat di Pusat Kraftangan Sabah, antaranya program latihan percuma, mesin dan peralatan memproses bahan mentah, ruang latihan yang besar lengkap dengan pelbagai kemudahan, jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman, pejabat Kumpulan Yayasan Sabah bagi memudahkan masyarakat setempat berurusan serta kawasan lapang yang luas untuk menjalankan pelbagai aktiviti kraf seperti tamu kraftangan, karnival kraf dan lain-lain.

Mengenai hasrat Ketua Menteri yang inginkan kraftangan keluaran Sabah pergi jauh ke peringkat global selain latihan, faktor kualiti dan pasaran perlu diberi perhatian khusus untuk memastikan hala tuju produk kraf negeri ini mampu bersaing dan setanding dengan hasil keluaran negara lain.

Dari segi peningkatan kualiti, amat perlu difikirkan bahawa penghasilan kraftangan tempatan itu mampu memenuhi kehendak pengguna dan penggemar. Ia dapat diterima dalam kalangan masyarakat sebagai gaya hidup harian sama ada untuk kegunaan sendiri, hiasan atau bahan cendera kenangan.

Skop penggunaan produk kraftangan diperluaskan sama ada untuk di rumah, pejabat, hotel taman dan lain-lain. Kraftangan yang popular antaranya ialah aksesori manik, hasil seni ukir berasaskan kayu, tembikar, rotan, kraf etnik, kraf anyaman, batik, songket selain cendera kenangan berasaskan permainan rakyat, sompoton, gasing dan sebagainya.

Mengenai pembaharuan rekaan, hasil kraf tempatan perlu mengambil kira keadaan semasa iaitu disesuaikan dengan masa kini. Diberi sentuhan moden tetapi masih mengekalkan keaslian kerana kraftangan adalah warisan nenek moyang sejak zaman berzaman contohnya, batik sarung atau batik lepas. Sekarang ini, batik sarung sudah tidak ramai yang memakainya di rumah-rumah, mereka lebih selesa memakai seluar panjang/pendek daripada kain sarung.

Jika ingin bersain di peringkat global, sentuhan kreativiti antara elemen yang perlu diterapkan dalam penghasilan kraf untuk menarik minat penggemar tempatan dan luar negara khususnya pelancong. Lazimnya pelancong tempatan dan asing yang bercuti atau melawat destinasi pelancongan tentunya tidak melepaskan peluang membeli cendera kenangan produk kraf dijadikan hadiah mahupun koleksi peribadi.

Ketiga-tiga elemen iaitu peningkatan kualiti, kreativiti penghasilan dan pembaharuan rekaan semuanya bergantung kepada latihan yang disediakan. Dengan adanya Pusat Kraftangan Sabah yang menyediakan pelbagai kemudahan peralatan dan latihan yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat, sudah pasti pasaran industri kraf dapat diperluaskan di dalam dan luar negara.

Badan-badan korporat seperti hotel, resort, bank dan lain-lain digalak menggunakan hasil kraf sebagai bahan cendera kenangan. Dengan cara ini secara langsung, dapat memperluaskan lagi pengedaran produk kraf tempatan.

Melalui pusat kraf ini hasil kraftangan akan dinaiktaraf dan dipelbagaikan rekaannya sebagai seni kontemporari bermotifkan tradisi pelbagai kaum, di samping mengekalkan budaya nenek moyang agar tidak pupus ditelan zaman. Contohnya penghasilan aksesori manik, ia sebenarnya boleh digabungkan dengan bahan lain dan konsep moden untuk menghasilkan rekaan baru.

Ada juga penggiat kraftangan yang menceburi bidang ini sebagai hobi dan hanya untuk meneruskan kesinambungan budaya keluarga. Tetapi minat yang ada itu jika dikembangkan dengan menyertai latihan di pusat kraf, sudah pasti boleh memberi pulangan lumayan dan sekaligus menaikkan taraf ekonomi keluarga.

Penduduk luar bandar yang tinggal berhampiran pusat kraf dan di seluruh negeri ini khususnya wanita, golongan belia dan beliawanis yang berminat dalam bidak seni kraf dipelawa mengikuti latihan di Pusat Kraftangan Sabah secara percuma.

Kesungguhan Kerajaan Negeri dan Pusat khususnya Kumpulan Yayasan Sabah untuk memastikan industri kraf terus unggul, berkembang maju, berdaya saing dan mempunyai mutu komersil telah diterjemahkan menerusi peruntukan yang besar.

Oleh itu, kepada sesiapa yang berminat dengan produk kraf rebutlah peluang keemasan ini kerana ia bukan sahaja meneruskan kesinambungan budaya generasi terdahulu malah dilihat sebagai penggerak sosio ekonomi pengusaha itu sendiri.

Dengan melahirkan pengusaha produk kraf yang mahir dan berilmu, peluang pekerjaan sentiasa terbuka luas kepada mereka.

Sumber : Harian Ekspres

Warga Keningau mahu jalan 500-meter diturap

  • PDF

Penduduk Kampung Kauran di sini memohon kepada kerajaan agar menurap jalan sepanjang 500 meter yang menghubungkan Masjid Kauran ke kampung mereka.

Wakil mereka Ariffin Salleh berkata selama 47 tahun semenjak tahun 1963, jalan raya tidak pernah dibaiki.

“Kami telah mengemukakan perkara ini kepada Majlis Daerah Keningau tetapi diberitahu bahawa jalan raya merupakan bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Bagaimanapun, apabila kami pergi ke JKR, mereka mendakwa bahawa ia bukan tugas mereka.” Kata Ariffin.

Menurut beliau, penduduk kampung yang ingin beribadah di masjid menghadapi masalah untuk ke sana disebabkan keadaan jalan yang tidak berturap. Apabila hujan, air akan bertakung di sekitar masjid.

Adalah diharapkan agar melalui Daily Express, kerajaan, terutamanya wakil yang telah dipilih rakyat supaya dapat mengambil tindakan segera mengenai perkara ini.” katanya.

Sumber : Daily Express

Suburkan dialog dan debat intelektual

  • PDF

Rakyat pada hari ini mempunyai selera politik yang berbeza berbanding dahulu. Mereka lebih cenderung menilai agenda yang ditawarkan oleh parti-parti politik dan seterunya memilih parti yang mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.

Mereka bukan lagi taasub kepada satu parti politik, hasilnya, setiap parti politik berusaha keras merencanakan agenda yang dibawa bagi memastikan persepsi positif pengundi sentiasa konsisten terhadap mereka.

Political will (keazaman politik) bagi sesebuah parti politik menjadi satu perkara yang penting bagi rakyat menilai kesungguhan parti politik membawa agenda yang telah direncanakan iaitu bukan sekadar omongan kosong, ia perlu direalisasikan.

Salah satu usaha yang mesti diambil perhatian bagi memenuhi tuntutan budaya politik baru ini ialah dengan menyuburkan dialog dan debat intelektual secara terbuka tanpa ada manipulasi dari pihak tertentu dari sudut maklumat. Ini sangat penting bagi memastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang segar dan telus.

Bukanlah budaya baru

Dialog dan debat intelektual bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Mungkin diMalaysia ia agak kurang popular, kerana adanya sikap ketidak terbukaan parti politik dalam menganjurkan dialog dan debat intelektual, dan juga ketelusan media arus perdana dalam menyiarkan debat dan dialog tersebut.

Jika kita menyoroti sejarah, bagaimana kisah nabi Musa a.s. ketika berhadapan dengan puluhan ribu ahli sihir yang dikumpulkan oleh Firaun untuk mengalahkan baginda. Walaupun dari sudut keadilan boleh dipertikaikan kerana puluhan ribu ahli sihir melawan seorang nabi, akan tetapi perkara yang menarik ialah pertandingan ini secara terbuka dengan kehadiran pembesar negara dan rakyat jelata dari seluruh Mesir. Penonton dapat menilai secara langsung pihak yang benar dan pihak yang batil.

Kita juga masih ingat bagaimana John McCain berhadapan dengan Obama dalam Final US Presidential Debate. Ketenangan yang dibawa oleh Obama dan cemasnya McCain telah memberikan satu klu kepada pengundi, siapakah yang sebenarnya layak dipilih sebagai presiden di samping keyakinan Obama dalam menyampaikan agenda yang mahu dibawa untuk membangunkan Amerika.

Perlu disuburkan

Harga petrol yang dijadikan isu perdebatan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek cukup memberi impak yang besar kepada rakyat. Dengan jelas dan telus rakyat dapat menyaksikan bagaimana hujah yang dilontarkan oleh pemimpin dari pemerintah dan juga pembangkang dalam membela nasib rakyat.

Kesediaan PAS dalam berdialog dengan mana-mana komponena BN menunjukkan kematangan politik yang wujud dalam PAS. Menurut Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas sesi dialog yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.

Tidak kurang hebat juga dengan ajakan debat satu sama satu secara terbuka oleh Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin, Menteri Pembangunan Wilayah dan Pembangunan Bandar kepada anggota parlimen pembangkang berhubung isu penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai skim perumahan kos rendah.

Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian. Mereka berhujah dan mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal 8 tahun lagi. Sayang sekali debat tersebut dianjurkan di luar Malaysia.

Budaya ini juga mesti disuburkan di dalam kampus, ketepikan dahulu isu AUKU yang sempit. Kita ketengahkan agenda memperkayakan minda mahasiswa. Pihak pentadbiran sewajarnya memberi galakan kepada mahasiswa menganjurkan dialog dan debat intelektual bukannya menyekat secara membuta-tuli. Apa salahnya kita tokoh-tokoh politik seperti Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook diundang berdialog di pusat pengajian tinggi? Jawapannya tentu sekali tidak salah, kerana pentadbiran pusat pengajian tinggi sepatutnya tidak ada kepentingan dalam politik.

Harapan anak muda

Oleh sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melalui Majlis Politik Nasional (MPN) pernah menawarkan diri sebagai penganjur debat terbuka antara Dato Seri Najib Tun Razak dengan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Dialog dan debat intelektual salah satu pemangkin kepada pendidikan politik. Sasaran yang ingin dicapai dalam pendidikan politik ialah wujudnya wa’yu siyasi (kesedaran politik) dalam setiap diri individu. Kita juga mengharapkan media arus perdana selaku medium pengantar maklumat memainkan peranan secara telus dan adil tanpa ada manipulasi dari sudut maklumat.

GAMIS sangat optimis sekiranya budaya ini disuburkan, di Malaysia akan wujudnya parti politik yang mempunyai keazaman politik yang tinggi dan rakyat tersedia dengan pendidikan politik yang baik, dikukuhkan dengan sistem pilihanraya yang telus dan adil. Seterusnya melahirkan politik baru Malaysia.

GAMIS Inspirasi Anak Muda!

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan GAMIS