KOTA KINABALU: Badan Induk Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia mengotakan permintaan warga Kota Marudu apabila memilih daerah itu sebagai destinasi dalam Program Siri Jelajah akan datang.
“Banyak daerah mahu kami datang buat program tetapi ada permintaan kuat dari Kota Marudu. Oleh itu kami telah memutuskan memilih Kota Marudu sebagai destinasi Program Siri Jelajah KDM Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 15 April.
“Ada beberapa pilihan venue dan kami sedang usahakan agar ianya diadakan di kawasan pekan dan yang selesa dengan jangkaan kehadiran sekitar 5,000 orang,” kata Ketua Penerangan baru pertubuhan itu, Azman Hj Ruslan (gambar) dalam kenyataan akhbarnya kelmarin.
Azman berkata, program itu adalah kesinambungan kepada program sama yang telah diadakan sejak tahun lalu.
“Bagaimanapun Kota Marudu adalah destinasi pertama selepas program bagi tahun 2012/2013 dilancarkan di Kimanis bulan lalu.
“Program ini bertujuan memperkenalkan KDM Malaysia dan melaksanakan tanggungjawab sosial pertubuhan dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu lebih ramai badan bukan kerajaan (NGO) turun padang membantu masyarakat terutama di luar bandar,” katanya.
Sempena dengan program itu, KDM Malaysia akan menyampaikan sumbangan kepada lebih 200 warga emas dan golongan yang memerlukan.
“Orang ramai juga akan dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular seperti juara AF6 Stacy yang juga Puteri KDM Malaysia, Ampal (Abu Bakar Elah), George Lian dan S Welly.
“Ada juga sesi motivasi dan nasihat oleh beberapa cendekiawan negara yang juga merupakan Lembaga Penasihat KDM Malaysia,” katanya sambil memberitahu bahawa suasana juga akan dihidupkan dengan acara khas oleh 26 ‘bobohizan’ dari seluruh Sabah.
Antara Cendekiawan yang dijangka akan bersama-sama pada program itu adalah Tengku Dr. Naufal Tengku Mohd Adnan Mansor, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Dr.Raduan Che Rose dan Prof. Madya Dr. Abdul Razak Ahmad.
“KDM Malaysia juga menyediakan banyak hadiah yang boleh dimenangi menerusi cabutan tiket bertuah,” katanya sambil menambah, Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony juga akan bersama-sama pada majlis itu.
Dalam perkembangan lain, Azman menjelaskan bahawa bukan satu kewajaran mendedahkan senarai terperinci ahli-ahli yang telah memohon menjadi ahli tetapi beliau memberitahu bahawa Naib Presiden, Ahuar Rasam telah menerima lebih 3,000 permohonan dari Keningau, Tenom, Pensiangan dan Nabawan.
Keputusan permohonan itu bagaimanapun masih dalam proses tapisan.
Mengenai peralihan kuasa pertubuhan itu baru-baru ini, Azman menegaskan bahawa tiada persoalan yang perlu dipanjangkan kerana ia adalah keputusan majoriti secara demokrasi dalam mesyuarat.
“Semua 17 orang yang hadir sebulat suara menyokong Peter sebagai presiden baru KDM Malaysia menggantikan John (Ambrose).
“Ada lapan dari 25 ahli yang layak mengundi tidak hadir termasuk Peter, John dan Ahuar. Kalau yang lapan ini hadi dan tidak menyokong sekalipun, tidak adakan dapat mengubah keputusannya.
Azman berkata demikian bagi menjawab kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), Datuk Taimin Lumaing kelmarin yang mahu KDM Malaysia membuktikan keahlian dari kaum Murut dan mempersoalkan proses peralihan kuasa pertubuhan itu.
Sambil itu, Azman berkata KDM Malaysia telah memutuskan untuk meneruskan rancangannya menganjurkan gabungan Pesta Kaamatan dan Kalimaran dalam bulan Mei atau Jun.
Sumber : Utusan Borneo



