KENINGAU, 04 Mac: Golongan belia berumur antar 19 hingga 39 tahun telah dikenalpasti sebagai golongan yang paling ramai dikesan mengambil dadah.
Sehubungan dengan itu tumpuan diberikan khusus kepada golongan ini dari segi pendidikan pencegahan, rawatan, perubatan dan pemulihan serta juga pengesanan dan pengawasan, untuk membatu diri sendiri dan rakan sebaya mereka daripada terus terlibat dalam kegiatan tidak sihat ini.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Sabah, Bakri Bibi berkata, Agensi Anti Dadah kebangsaan (AADK), telah menubuhkan Program Sukarelawan Skuad 1Malaysia sebagai satu program utama pencegahan, publisiti dan kesedaran awam bagi agensi itu mengenai salah guna dadah.
Bakri berkata demikian di Majlis Program Skuad 1Malaysia Daerah Keningau anjuran agensi berkenaan dengan kerjasama GDW KG.Merampong, Apin Apin disini. Program tersebut dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sairin Karno.
Menurut Bakri lagi, idea skuad 1Malaysia dicetuskan atas keinsafan dan kesedaran agensi itu sebagai pelengkap kepada sebuah masyarakat yang aman dan harmoni, selain merupakan medium perantara untuk merapatkan jurang antara AADK dan belia dalam usaha untuk menggerakkan belia membanteras dadah.
“Skuad 1Malaysia memberi peluang kepada golongan belia yang berminat untuk membantu kerajaan dalam bidang pendidikan pencegahan, publisiti dan juga kesedaran awam memastikan program yang disediakan berupaya mencapai matlamat negara bebas dadah menjelang tahun 2015,” kata Bakri.
Katanya, belia sebagai pelapis kepimpinan negara di masa depan perlu mempunyai pengetahuan dalam semua aspek ini bagi menolak gejala dadah sekaligus memupuk semangat kecintaan terhadap budaya tolong-menolong sesama ahli dan melaksanakan program-program pencegahan dan memerangi ancaman dadah melalui program itu.
Beliau berkata, melalui program itu, AADK dapat menyampaikan maklumat terkini berkenaan dengan transformasi dalam bidang rawatan, perubatan dan pemulihan dalam membantu kearah proses pemulihan seseorang yang memiliki masalah berkaitan dengan dadah.
“Konsep rawatan secara sukarela dan tanpa paksaan ini adalah bersifat open acces atau memberi ruang dan peluang untuk berubah dan terus menjauhi dadah menerusi program-program yang menggabungkan unsur psikososial, kerohanian dan juga perubatan kesihatan untuk memberi peluang rawatan dan perubatan terhadap individu yang ingin kekal pulih dan bebas dari dadah,” kata Bakri.
Dimana AADK Keningau turut menawarkan perkhidmatan itu kepada mereka yang mahu dipulihkan dan bebas dari masalah dadah.
Katanya, pihak AADK Negeri Sabah mengharapkan masyarakat khususnya golongan remaja dan belia dapat bersama dengan agensi itu untuk mengorak langkah dengan membentuk satu pasukan sukarela dan bersifat community oriented policing dan smart partnership yang digerakkan sebagai mata dan telinga AADK untuk memerangi ancaman dadah di kawasan masing-masing.
Sumber : New Sabah Times



