Friday, May 24th

Last update07:43:05 PM GMT

You are here Info Pengetahuan Keluarga

Keluarga

Famili Implan koklea

  • PDF

Kaedah awal kesan pekak dan bisu bayi, bantu atasi masalah lebih serius

Mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiga bayi dilahirkan dengan masalah kurang pendengaran daripada 1,000 kelahiran manakala seorang daripadanya serius.

Apa dibimbangkan, jika bayi itu tidak dibantu seawal mungkin, impaknya mungkin menggugat perkembangan dan kualiti hidup individu, pada masa depan.

 

Apabila elektrod dimasukkan sebagai ganti koklea, bahagian luar implan koklea berfungsi sebagai alat penerima bunyi akan dipasang dalam tempoh dua hingga tiga minggu," - Dr Lokman Saim, Perunding Kanan Otologi dan


Justeru, WHO menyarankan supaya setiap bayi yang baru lahir melalui proses pengesanan awal pendengaran bagi membolehkan mereka yang bermasalah diberikan bantuan seawal mungkin.

Perunding Kanan Otologi dan Neuro-otologi, Datuk Dr Lokman Saim, berkata jika dulu, anak kecil yang dilahirkan dengan masalah pendengaran akan membesar sebagai seorang Orang Kurang Upaya (OKU) , iaitu pekak dan bisu.

“Tapi kini, melalui teknologi dalam dunia perubatan, bayi yang dilahirkan pekak boleh dibantu,” katanya.

Salah satu daripadanya adalah melalui kaedah implan koklea, alat bantuan pendengaran yang memberi rangsangan auditori kepada pesakit.
Dihasilkan dengan dua bahagian iaitu elektrod penerima dan magnet perangkai yang ditanam di belakang telinga untuk bahagian dalam manakala, bahagian luar bertindak sebagai pemproses pertuturan.

Pekak adalah satu daripada kecacatan kongenital yang sering terjadi pada bayi baru lahir.

Punca pekak, bisu

Dr Lokman berkata, ibu bapa juga perlu tahu, 95 peratus bayi lahir dengan masalah pendengaran dan ia berlaku disebabkan banyak faktor antaranya jangkitan virus seperti rubela, campak atau beguk dialami ibu ketika mengandung.

“Atau disebabkan pengambilan ubat bertoksik seperti anti barah dan ubat tibi juga komplikasi ketika melahirkan misalnya pra matang, berat kurang daripada 1.5 kilogram atau bayi lemas semasa kelahiran.

“Ada juga sebahagiannya mengalami masalah pendengaran disebabkan jangkitan kuman pada telinga selepas demam panas dan jaundis,” katanya.

Kategori pekak

Pekak terbahagi kepada empat kategori iaitu ringan, sederhana, teruk dan pekak keseluruhan.

Empat kategori ini dipecahkan kepada dua kumpulan lain iaitu ringan dan sederhana - ada sisa pendengaran dan boleh dibantu menggunakan alat bantu dengar.

Sementara teruk dan pekak keseluruhan - boleh dipakaikan alat bantu dengar tapi tidak boleh mendengar seperti kanak-kanak normal.

Implan koklea

Mengikut Dr Lokman, prosedur koklea implan terbaru menggunakan alat yang lebih kecil dan nipis membabitkan pembedahan minor selama satu atau dua jam.

“Apabila elektrod dimasukkan sebagai ganti koklea, bahagian luar implan koklea berfungsi sebagai alat penerima bunyi akan dipasang dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

“Kemudian, pesakit akan dilatih untuk bertutur. Dalam tempoh itu, ada pesakit yang boleh kembali mendengar dan bertutur tapi ada juga yang gagal mungkin kerana mereka sudah lama mengalami masalah pendengaran,” katanya.

Kejayaan implan koklea kalangan bayi ditentukan oleh usia bayi itu sendiri. Justeru, kanak-kanak digalakkan menjalani implan koklea seawal mungkin, selewat-lewatnya dua tahun. Bagaimanapun, kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun masih boleh dibantu.

“Ada juga kanak-kanak berusia lima tahun ke atas menjalani kaedah implan koklea tapi disebabkan kadar pendengaran tidak memuaskan lantas mengganggu proses pertuturan mereka.

Buat rawatan awal

“Justeru, saya sarankan supaya kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran menjalani kaedah implan koklea seawal mungkin supaya mereka boleh bertutur dan masuk ke sekolah biasa, seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Jelasnya, di Malaysia, ramai ibu bapa yang tidak tahu cara mengendalikan kanak-kanak pekak menyebabkan ramai terpaksa meneruskan persekolahan di sekolah pekak dan bisu.

“Sayang, sedangkan masalah itu boleh diatasi jika dikesan dari awal,” katanya.

Ibu bapa main peranan

Bagaimanapun, selain memasang implan koklea, peranan pakar audiologi yang mengesan tahap pendengaran dan pakar terapi pertuturan yang melatih pengguna implan koklea bertutur memainkan peranan penting.

“Ibu bapa juga perlu merangsang pendengaran anak menggunakan alat pendengaran untuk berkomunikasi.

“Agak mengecewakan kerana berkomunikasi dengan anak tidak menjadi budaya orang kita menyebabkan kadar ‘pemulihan’ terencat. Selain itu, anak-anak ini juga perlu diajar menyebut perkataan dengan betul,” katanya.

Jelasnya, ibu bapa yang dedikasi melatih anak mendengar dan bertutur membolehkan proses mendengar menjadi lebih pantas.

“Paling tidak, selepas setahun hingga setahun setengah mereka sudah boleh bertutur,” katanya.

Kesan tahap pendengaran bayi

Semua hospital di negara ini disarankan menjalankan ujian pengesanan pendengaran oto acustic emission (OAE) sebagai prosedur wajib kepada bayi baru lahir.

Dr Lokman berkata, ujian pendengaran dijalankan ketika ini terlalu ringkas dan tidak menyeluruh menyebabkan ramai bayi dilahirkan pekak lambat menerima bantuan.

“Kita tidak mahu ada bayi bermasalah pendengaran terlepas pandang kerana jika tidak diberikan seawal mungkin, impaknya besar pada perkembangan individu.

“Justeru, masalah itu perlu dikesan seawal usia tiga bulan dan dalam masa enam bulan, mereka perlu diberikan bantuan alat bantu dengar,” katanya.

Lihat perkembangan bayi

Tambah Dr Lokman, masalah pendengaran dialami bayi sukar dilihat dengan mata kasar.

“Bagaimanapun, ibu bapa boleh melihat reaksi bayi pada bunyi. Secara teorinya, bayi berusia kurang enam bulan akan terkejut mendengar bunyi kuat.

“Pada usia enam hingga lapan bulan iaitu apabila lehernya sudah kuat, bayi akan menoleh pada bunyi. Pada usia setahun pula, kebanyakan bayi sudah boleh mengagah, setahun setengah mula menutur perkataan mudah dan seterusnya bertutur dalam bentuk ayat pendek,” katanya.

Perlu diberikan perhatian adalah bayi berusia setahun setengah ke atas yang masih tidak boleh bertutur.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak berlengah membawa bayi berjumpa pakar audiologi atau pakar telinga, hidung dan mulut (ENT) jika bayi tidak ada tindak balas terhadap bunyi,” katanya.

INFO : Punca kecacatan pendengaran sejak lahir
* Jangkitan semasa kandungan seperti rubela dan sifilis.
* Pengambilan ubat tertentu seperti `gentamisin' yang selalu digunakan dalam rawatan bayi selepas lahir.
* Ibu mengalami darah tinggi yang berlebihan (preeklampsia) ketika melahirkan bayi.
* Bayi yang pramatang atau tidak cukup berat badan (kurang daripada 1.5 kg)
* Bayi yang dilahirkan lemas dan memerlukan alat pernafasan selepas lahir.
* Meningitis atau jangkitan kuman pada otak selepas lahir.
* Bayi yang mengalami kekuningan (jaundice) yang teruk sehingga tahap memerlukan pertukaran darah.
* Bayi dilahirkan dengan pembentukan muka yang abnormal seperti sumbing.
* Ada sejarah di dalam ahli keluarga yang mengalami masalah pendengaran seperti sindrom Waardenburg, Treacher Collins dan Alport Syndrome.-- BH

Khairat kematian

  • PDF

Ajal boleh tiba bila-bila masa. Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa bersedia menghadapi kematian.

Namun, sejauh manakah orang ramai terfikir di mana akhirnya pusara mereka selepas jasad bercerai daripada badan? Jika tinggal di kampung, lazimnya tidak wujud masalah kerana memang sudah tersedia tanah perkuburan di kawasan masing-masing. Malah penduduk di desa kenal-mengenali antara satu sama lain.

Apabila dengar saja ada kematian mereka bergotong-royong mengurus dan mengebumikan jenazah.

Bagaimana pula masyarakat yang tinggal di bandar khususnya di taman perumahan, pangsapuri atau kondominium?

Sejauh mana kesedaran orang ramai khususnya golongan muda menyertai badan khairat di kawasan masing-masing atau setidak-tidaknya singgah ke masjid atau surau.

Jika mereka tidak pernah berkunjung ke masjid atau mengenali badan khairat di kawasan itu, apakah akan jadi kepada mereka jika ditakdirkan mati. Tambahan pula, mereka tiada waris untuk menguruskannya atau membawa jenazah pulang ke kampung.

Memang urusan kematian dilakukan orang yang dihidup. Namun, berdasarkan fenomena zaman ini yang penduduk bandar yang tidak mengenali dengan jiran tetangga, maka sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka. FAMILI mengupas mengenai kepentingan badan khairat.
Justeru, ada kawasan penempatan yang dihuni penduduk Islam menubuhkan badan khairat kematian bagi meringankan beban si mati dan keluarga.

Badan khairat kematian biasa diwujudkan oleh pengurusan masjid, surau dan persatuan penduduk setempat tetapi kini, badan bukan kerajaan, koperasi dan institusi pekerjaan turut mempunyai skim tabung khairat kematian untuk ahli dan pekerja mereka.

Walaupun kesedaran mengenainya meningkat, masih ada segelintir masyarakat yang mengambil ringan kepentingan khairat kematian kerana menganggap wang simpanan sedia ada sudah cukup menampung urusan pengebumian walhal peranannya lebih besar daripada itu.

Bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut, berkata kesedaran mengenai kepentingan badan khairat sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat namun hanya segelintir yang menghayati konsep sebenar penubuhan tabung itu.

Menurutnya, kebanyakan individu hanya memahami peranan asas badan khairat sedangkan ia bukan saja terhad kepada urusan pengebumian jenazah.

"Secara asasnya, wang khairat kematian diwujudkan bertujuan membantu meringankan beban waris si mati dengan berperanan menyediakan kos untuk urusan kematian termasuk membantu mempercepatkan urusanpengebumian, membiayai kos mandi jenazah, kain kapan, keranda dan upah menggali kubur.

"Tetapi sekiranya dilihat dengan lebih dalam, konsep badan khairat juga bertujuan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat melalui pengurusan jenazah selain memberi peluang kepada mereka mendalami selok-belok pengurusan jenazah umat Islam," katanya ketika dihubungi, barubaru ini.

Katanya, jika si mati orang miskin, tabung khairat kematian boleh membantu meringankan beban pengurusan jenazah kerana ada sebahagian mereka yang mati tidak mampu membiayai pengurusan jenazah sendiri.

"Bagaimanapun, ini bukan bermakna mereka yang kaya tidak perlu mengambil bahagian kerana mereka berkemampuan membiayai pengurusan jenazah.

"Ini kerana antara tujuan tabung khairat adalah meringankan bebanan yang ditanggung ahli, memberikan kemudahan dan sebagai menzahirkan rasa simpati sesama umat Islam," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kesedaran generasi muda terhadap perkara itu, Noh berkata, golongan muda perlu sedar kepentingan badan khairat dan memulakannya sejak awal kerana ajal tidak mengenal usia.

"Segelintir golongan muda sibuk bekerja siang dan malam, malah langsung tidak kenal erti penatlelah kerana semata-mata mengejar kekayaan.

Bagi mereka, apabila mempunyai banyak wang, masa tua nanti mereka boleh berehat dan itu menjadi satu kebahagiaan bagi mereka kerana tidak terlintas untuk menikmati kehidupan pada hari sesudah mati di dunia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Khairat Bangi Perdana, Adenan Sayan, berkata kesedaran masyarakat terhadap kepentingan badan khairat kebanyakan membabitkan golongan berumur.

Jangan abai tuntutan Katanya, biasanya golongan muda lebih menumpukan perhatian dalam usaha mengukuhkan status kewangan dengan pelaburan, pembelian kereta dan rumah kerana ada yang menganggap mereka masih mempunyai banyak masa membuat persediaan menghadapi kematian.

"Bagaimanapun, kesibukan mencari rezeki tidak boleh dijadikan penyebab untuk membolehkan kita mengabaikan tuntutan Allah SWT.

"Sementara masih hidup, guna dan pastikan harta kekayaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk dunia dan akhirat," katanya.

Berpegang kepada matlamat memberikan kemudahan kepada penduduk untuk menguruskan pengebumian jenazah, Adenan berkata masyarakat perlu membezakan tabung khairat kematian dan wang simpanan sendiri.

"Tabung khairat kematian bukan saja membabitkan pemberian wang tunai untuk pengurusan jenazah malah segala urusan akan dikendalikan sepenuhnya pihak pentadbir badan termasuk kenduri tahlil pada malam pertama kematian di rumah si mati," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar mula mendaftar sebagai ahli badan khairat berikutan kos pengurusan jenazah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. -- BH

Trauma menyusu bayi

  • PDF

Trauma selepas pembedahan dan tidak mendapat maklumat lengkap mengenai penyusuan, antara punca utama puting payudara mengalami luka ketika menyusukan bayi. Petua orang dulu, ratakan susu badan pada luka puting payudara, mampu menyembuhkan.

Menjadikan pengambilan ubat makan dan ubat sapu tidak diperlukan lagi. Dari segi saintifik pula bagaimana?

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Hospital Adventist Pulau Pinang, Dr Pong Kwai Meng, berkata sebenarnya, kebanyakan masalah penyusuan boleh dielakkan dengan amalan penyusuan dan posisi betul termasuk memberi sepenuhnya perhatian kepada bayi ketika proses itu berlangsung.

"Sekiranya luka berlaku pada puting, segera dapatkan rawatan. Luka lebih mudah sembuh berbanding apabila ia semakin besar atau serius.

Rawatan awal juga membolehkan bayi menikmati penyusuan lebih baik, sepanjang tempoh penyusuan badan selama enam bulan dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga ke umur dua tahun. Puting sakit, payudara bengkak, mastitis dan susu ibu tidak mencukupi antara masalah kerap dialami oleh ibu yang menyusukan bayi," katanya.

Antara mitos mengenai penyusuan susu ibu ialah ia menyakitkan hingga menyebabkan segelintir ibu enggan menyusukan bayi mereka.

Dr Pong berkata, ketegangan pada puting mengakibatkan ia sensitif. Bagaimanapun, sensasi itu biasanya reda dalam tempoh beberapa hari saja apabila ibu kerap menyusukan bayi dan melakukannya pada posisi betul. -- BH

Pantau mainan komputer anak-anak

  • PDF

Pernahkah anda terjumpa anak kecil yang tidak suka bermain. Mungkin tidak.

Sisi positif fakta ini adalah waktu bermain sebenarnya peluang untuk mereka belajar. Menerusi kegiatan ini, anak-anak belajar mengenali diri, persekitaran, orang lain dan dunia di sekeliling mereka.

Menyedari anak-anak masa kini membesar dalam lingkungan dunia teknologi maklumat yang tiada sempadan, misi ibu bapa dalam hal-hal berkaitan keibubapaan tidak pernah berubah, cuma konteks saja yang berbeza.



Ibu bapa kini berdepan cabaran yang lebih maju, moden dan cukup berbeza dengan suasana mereka dibesarkan suatu ketika dulu. Mereka perlu mempertimbangkan arah tuju dunia masa kini dan cara terbaik mempersiapkan anak-anak ke arah itu.

Dalam dunia teknologi maklumat, segala-galanya berlaku secara talian terus - dunia yang menyediakan gerbang kandungan mengumpan dan menyeronokkan.

Di situlah rakan-rakan dan juga kerja-kerja rumah diselesaikan.

Ketika ibu bapa perlu menyeimbangkan antara pengalaman berlandaskan kenyataan dan dunia digital, mereka perlu mengenal bahawa teknologi berkembang setiap hari dengan kesan yang jelas ke atas cara anak-anak belajar.
Jika dikaji, terdapat ratusan ‘games’ dan perisian permainan untuk kanak-kanak di pasaran.

Sumbernya cukup mudah, cari saja di kedai buku mahupun kedai permainan, malah ia boleh di muat turun percuma selain berbayar.

Langkah pertama dalam memilih perisian pendidikan untuk anak menimbangkan tujuannya.

Program pendidikan perlu sesuai dengan usia dan dari segi pembangunan mental. Ia perlu mencerminkan pemahaman terhadap keperluan anak-anak dan perlu mendorong mereka untuk menyumbang berdasarkan pengalaman mereka sendiri.

Perisian dengan rekaan grafik, warna dan bunyi yang menarik akan merangsang deria anak-anak dan hingga mula melahirkan minat. Perisian yang memerlukan tahap interaksi anak-anak yang tinggi, memberikan tindak balas yang terancang dan menyediakan pilihan yang memerlukan anak-anak untuk membuat pilihan akan menggalakkan minat untuk meneroka, imaginasi dan menyelesaikan masalah. Dan perisian yang mencerminkan dan dibangunkan berdasarkan apa yang anak-anak tahu akan mengekalkan minat mereka dan menggalakkan penggunaannya secara berulang.

Permainan bercorak pendidikan dan perisian seharusnya menyokong kurikulum yang diajar di sekolah. Ia tidak menjadikan guru-guru atau sistem sekolah itu berlebihan. Sebaliknya, jika digunakan sebaiknya permainan komputer dan perisian merangsang persekitaran pembelajaran dan menyediakan konteks motivasi untuk pembelajaran.

Teknologi pendidikan juga boleh digunakan untuk menggalakkan kanak-kanak mencipta kandungan berbanding hanya sekadar menggunakannya.

Bagaimanapun, tidak semua teknologi pendidikan bersesuaian untuk anak-anak. Permainan komputer dan perisian berkonsep pendidikan dan hiburan (edutainment) tertentu tidak menambah kepada pengalaman pendidikan seorang kanak-kanak.

Adalah penting untuk ibu bapa dan guru melihat previu semua perisian, sebelum membuat pembelian.

Banyak juga program berbayar yang menawarkan waktu percubaan sebelum pelanggan komited untuk membeli. Terdapat juga banyak forum secara talian terus yang menawarkan ulasan kepada pelbagai jenis permainan pendidikan dan perisian di pasaran.-- Berita Harian

Famili Hasil seni hijab

  • PDF

Rona Jingga utama kualiti reka koleksi pakaian untuk beribadat

Berpakaian cantik tidak hanya diutamakan ketika ingin menghadiri majlis atau meraikan sesuatu perayaan, tetapi juga apabila hendak menghadap dan menjadi tetamu Allah.

Begitu juga bagi yang ingin menunaikan umrah atau haji, pastinya memerlukan penampilan sempurna, cantik, sopan, longgar dan mematuhi syariat. Antara pakaian paling sesuai dan disenangi ramai ketika melakukan ibadat itu ialah jubah.

 

GAYA POTONGAN DAN HIASAN DITAMPILKAN ADALAH RINGKAS DAN MINIMUM,TETAPI MEMBERIKAN DAYA TARIKAN TERSENDIRI," - Faridah Zakaria, Pereka dan pemilik Rona Jingga

Gaya lebih segar

Jubah yang selalunya dipakai orang Arab berwarna hitam, labuh, berlapis dan terlalu panjang tidak praktikal dipakai orang Asia. Justeru, memberikan kelainan dan gaya lebih segar, Rona Jingga jenama fesyen yang meletakkan kualiti sebagai teras utama hasil rekaannya menampilkan koleksi pakaian Umrah Haj.

Pereka dan pemilik Rona Jingga, Faridah Zakaria, berkata mempertaruhkan rekaan berbeza, unik dan menarik, koleksi busana dihasilkan mampu memenuhi cita rasa setiap pelanggan pelbagai peringkat usia.

Faridah berkata, prinsip asas rekaan busana ciptaan Rona Jingga bukan sekadar untuk menghasilkan sehelai pakaian, malah ilham seni reka diketengahkan juga satu hasil seni. Helaian seni yang pastinya menjanjikan kepuasan, keselesaan dan keunikan kepada penampilan pemiliknya.
Rekaan berasaskan pengalaman

“Koleksi Umrah Haj menekankan konsep berziarah ke rumah Allah dengan penampilan indah bagi menambah keyakinan dan meningkatkan ketakwaan ketika menjalani ibadat. Rekaan yang dicipta juga berasaskan pengalaman saya ketika menunaikan ibadat berkenaan. Oleh itu, beberapa aspek diberikan perhatian terutama dari segi praktikal, keselesaan pemakai dan senang bergerak ketika melakukan ibadat diutamakan.

“Namun, yang penting, individu itu masih mengekalkan keterampilan sopan tanpa mengetepikan aspek yang perlu dititikberatkan ketika beribadah,” katanya ketika ditemui di butik Rona Jingga di Bangsar Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pereka lulusan sarjana Rekaan Tekstil dan Fesyen dari Universiti De Mountfort, Leicester, United Kingdom dan pemegang ijazah di dalam Senireka Fesyen dari Universiti Islam Teknologi Malaysia (UiTM), memberitahu selain jubah, koleksi Umrah Haj merangkumi keseluruhan keperluan harian Muslimah termasuk seluar panjang, pelapik dalam, tudung, anak tudung dan sebagainya.

Katanya, bagi memenuhi keperluan ketika di Tanah Suci, antara yang menarik ditampilkan ialah jubah dan seluar dilengkapi zip tersembunyi pada bahagian kiri dan kanan pakaian berkenaan bagi menyimpan barang penting dan berharga.

Serlah gaya sopan

“Jubah atau gaun labuh menjadi rekaan asas untuk koleksi ini dan untuk memberi pilihan didatangkan potongan kolar pakaian dalam pelbagai gaya. Namun, yang penting, ia menyerlahkan gaya sopan dan kemas. Untuk potongan jubah, saya lebih suka tampilkan potongan Princess supaya tampak lebih kemas dan tidak geloboh untuk pemakai. Potongan seperti ini sesuai untuk mereka berbadan besar yang ingin nampak ‘lebih kecil’ dan untuk menutup perut buncit.

“Untuk memberikan gaya lebih segar dan lebih cantik, saya tambahkan sulaman dan renda pada bahagian tertentu. Keseluruhannya, gaya potongan dan hiasan ditampilkan adalah ringkas dan minimum, tetapi memberikan daya tarikan tersendiri,” katanya.

Tambahnya, bagi memberikan keselesaan kepada pemakai, semua himpunan pakaian menggunakan fabrik berkualiti dan lembut seperti kapas, sutera, lycra, jojet spandex dan hampir keseluruhan diletakkan pelapik.

Justeru, pemakai tidak perlu memakai alas baju kerana semua pakaian dijahit pelapik daripada fabrik yang selesa dan sejuk. Paling penting, tidak jarang, labuh dan memenuhi syariat Islam.

Sesuai ke semua majlis

Faridah berkata, warna putih dan hitam mendominasi rekaan serta menjadi pilihan jemaah umrah dan haji bagi mengelak menarik perhatian orang lain. Selain itu, ada juga rekaan menggabungkan kedua-dua warna itu sebagai pelengkap koleksi sedia ada.

“Menariknya, potongan segar dan perincian yang terdapat pada rekaan jubah ini juga membuatkannya sesuai digayakan ke semua majlis,” katanya.

Selain itu, pelbagai jenis tudung sama ada tudung siap bersengkuap, Syria dan selendang serta telekung khas untuk ziarah dan telekung sembahyang menggunakan fabrik kapas bagi menyerap peluh dan sejuk dipakai juga turut ditampilkan.

INFO: Butik Rona Jingga
Lokasi: 10-1, Jalan Telawi 5, Bangsar Baru, Kuala Lumpur
Koleksi : Produk pakaian yang merangkumi keseluruhan keperluan harian Muslimah
Ciri-ciri: Sopan, memenuhi syariat dan tampil dengan gaya rekaan ringkas dan segar.
Waktu operasi: Setiap hari dari jam 10.30 pagi hingga 8.30 malam.
Harga: Setiap pakaian bermula daripada RM99 ke atas.
Laman web: www.rona-jingga.com
Laman sosial: ronajinggaboutique.blogspot.com atau di facebook Rona Jingga