Wednesday, Jun 19th

Last update07:43:05 PM GMT

You are here Berita Berita Nasional

Berita Nasional

Insiden Pencerobohan Lahad Datu Beri Kesan Besar Kpd Politik, Sosial, Ekonomi Negara

  • PDF

KOTA KINABALU, 24 Mac (Bernama) -- Insiden pencerobohan oleh kumpulan pengganas di Lahad Datu dan Semporna memberi kesan yang sangat besar kepada politik, sosial dan ekonomi negara khususnya negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau berkata tragedi itu sudah mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara, yang bukan sahaja menyebabkan anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, ibu dan bapa kehilangan anak, tetapi juga akan kekal menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah negara.

"Sesungguhnya kekejaman pengganas terhadap anggota keselamatan kita tidak mungkin akan kita lupakan sampai bila-bila.

"Hasil pengorbanan pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi (kebangkitan keganasan) telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan," katanya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program taklimat keselamatan 'Sabah Diceroboh: Kedaulatan Negara Dicabar' di Kota Kinabalu, Ahad.

Hadir sama di majlis itu Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Jainab Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan dan Pengarah JASA Sabah Abdul Manap Lakariba.

Yahya berkata program itu antara lain bermatlamat memberi penjelasan mengenai sejarah Kesultanan Sulu dan tuntutan mereka ke atas beberapa wilayah di Sabah serta penjelasan mengenai Operasi Daulat.

Beliau berkata insiden keganasan itu memberi pengajaran kepada semua tentang pentingnya menjaga dan memelihara keamanan dan keselamatan.

"Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada. Sebagai seorang bekas anggota keselamatan, saya merasa dukacita terhadap penghinaan yang dilemparkan ke atas pasukan keselamatan kita.

"Tanpa anggota keselamatan yang menjaga keamanan negara sudah pasti negara kita tidak akan menikmati keamanan seperti sekarang ini," katanya.

Oleh itu, Yahya membidas pihak tertentu yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan dan seterusnya mengingatkan mereka supaya belajar mengenang budi.

--BERNAMA

Pemberian kad pengenalan terancang

  • PDF

Kota Kinabalu: Pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing di Sabah yang didakwa berlaku pada 1990-an dipercayai dibuat secara terancang oleh sindiket yang bermotifkan keuntungan semata-mata.

Perkara itu didedahkan Pegawai Turus Bahagian Perlindungan Keselamatan, Cawangan Khas Bukit Aman, Superintendan Ahmad Fauzan Muhammad kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah di sini, semalam.

Beliau pernah ditugaskan menyiasat dan membuat penilaian mengenai kes itu ketika bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman dari 1995 hingga 2001.

 

“Siasatan dan penilaian bukan bermotif politik tetapi lebih kepada aspek pengeluaran kad pengenalan kerana membabitkan keselamatan negara,” Superintendan Ahmad Fauzan Muhammad, Pegawai Turus Bahagian Perlindungan Keselamatan

 


Untung lebih RM11 juta

Ahmad Fauzan mendakwa individu terbabit dengan sindiket itu menerima bayaran antara RM50 dan RM1,400 bagi satu kad pengenalan dengan keuntungan keseluruhan sindiket lebih RM11 juta.

“Menerusi siasatan dan penilaian, saya dapati kegiatan itu dibuat secara teratur dan bersindiket. Dalangnya terdiri daripada pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan orang persendirian.

“Siasatan dan penilaian bukan bermotif politik tetapi lebih kepada aspek pengeluaran kad pengenalan kerana membabitkan keselamatan negara,” katanya.
Beliau adalah saksi ke-56 memberi keterangan di hadapan Pengerusi RCI, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan empat ahli suruhanjaya di Mahkamah Persekutuan Kota Kinabalu.

Ahmad Fauzan berkata, berikutan penemuan itu, 94 individu termasuk dua bekas Pengarah JPN Sabah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala 3,035 penerima kad pengenalan ditahan antara 1995 hingga 2001.

66,682 diberi taraf warga negara di Sabah

Sementara itu, saksi ke-57, iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat JPN Putrajaya, Laila Abdul Majid berkata, seramai 66,682 warga asing diberi taraf warga negara di Sabah sehingga Oktober tahun lalu.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 65,961 mendapat kad pengenalan biru, manakala selebihnya dikenal pasti belum layak, termasuk belum mencapai umur 12 tahun.

Sesi pendengaran RCI disambung semula hari ini. -- BH

Rundingan Sudah Tamat, Kumpulan Warga Filipina Dalam Proses Dihantar Pulang - Polis

  • PDF

KOTA KINABALU, 16 Feb (Bernama) -- Polis kini dalam proses mengusir pulang ke negara asal kumpulan penceroboh dari selatan Filipina yang dikepung di Kampung Tanduo, Lahad Datu, sejak Selasa lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata polis sudah menamatkan rundingan dengan kumpulan itu dan kini memberi tumpuan untuk mengusir mereka pulang ke negara asal mereka.

"Kita sudah beritahu mereka bahawa kita tidak boleh melayan apa-apa tuntutan mereka kerana ini bukan platform yang betul untuk menyuarakan apa-apa yang mereka mahu.

"Jadi, sekarang kita hanya boleh melaksanakan proses untuk menghantar mereka balik supaya mereka boleh mencari saluran yang sesuai untuk menyuarakan tuntutan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Ops Selamat sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jesseltion Point, di sini, Sabtu.

Ketika ditanya bila kumpulan tersebut akan dihantar pulang, Hamza berkata secepat mungkin.

Sebelum ini, kumpulan penceroboh menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu di Sabah dihantar pulang ke negara asal.

-- BERNAMA

Siasatan Kematian 14 Gajah Diperhebat, Ganjaran Ditambah RM40,000 Lagi

  • PDF

KOTA KINABALU, 5 Feb (Bernama) -- Siasatan mengenai kematian 14 gajah pigmy Borneo secara misteri di Hutan Simpan Rara kira-kira 139km dari Tawau baru-baru ini diperhebat dan ganjaran tambahan sebanyak RM40,000 ditawarkan kepada mereka yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab bagi kematian haiwan itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata beliau diberi taklimat tentang perkara itu oleh setiausaha tetapnya Datuk Micheal Emban, yang mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas berhubung kematian gajah berkenaan.

"Sekiranya laporan ahli kimia menunjukkan gajah itu dibunuh secara sengaja, maka kementerian bersedia menawarkan ganjaran RM40,000 kepada pemberi maklumat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Malindo Air bagi laluan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur di sini Selasa.

Sebelum ini, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pensabitan kesalahan mereka yang menyebabkan kematian gajah yang diancam kepupusan itu.

"Jadi, dengan tawaran RM10,000 oleh MATTA, jumlahnya kini menjadi RM50,000," kata Masidi.

Bagaimanapun, tawaran itu tertakluk kepada laporan ahli kimia, yang dijangka dikeluarkan Jumaat ini, kata beliau.

-- BERNAMA

Janji 20 Peratus Royalti Minyak Bukti Pakatan Pembangkang Tak Faham Industri Petroleum

  • PDF

TAWAU, 19 Jan (Bernama) -- Janji menaikkan royalti minyak antara 15 hingga 20 peratus kepada Sabah yang ditabur pakatan pembangkang sekiranya mereka memerintah menunjukkan pembangkang tidak memahami selok-belok industri petroleum.

Sambil menyifatkan ia sebagai janji bohong, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata sebagai jurutera yang pernah berkerja dengan syarikat petroleum antarabangsa, beliau mengetahui bahawa industri petroleum berisiko tinggi dan memerlukan modal pelaburan yang amat besar.

"Setiap hasil daripada 100 tong minyak Sabah yang dikeluarkan, lima peratus pergi kepada negeri Sabah dan lima peratus lagi kepada kerajaan persekutuan. Sebanyak 45 peratus untuk mencari gali minyak dan 45 peratus lagi adalah keuntungan (kasar) yang dikongsi Petronas dengan rakan syarikat cari gali seperti Shell dan Esso.

"(Selepas pembahagian hasil dan membayar cukai) Hasil yang diperoleh Petronas kira-kira 16 peratus. Sekiranya (royalti Sabah) diberi lagi 10 peratus, Petronas akan tutup," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan Elaun Sara Hidup kepada 504 nelayan Tawau di sini hari ini.

Tawfiq berkata sebagai sebuah daripada syarikat petroleum terbaik di dunia, Petronas perlu terus kukuh kerana ia amat penting kepada Malaysia untuk masa depan negara.

-- BERNAMA