Thursday, Jun 20th

Last update07:43:05 PM GMT

You are here Berita Berita Dunia

Berita Dunia

Glamor wanita pertama China

  • PDF

Peng Liyuan tunjuk penampilan berbeza daripada tokoh sebelumnya

Beijing: Wanita Pertama baru China, Peng Liyuan, yang disifatkan glamor dianggap bintang diplomasi terbaru negara itu.

Peng dikatakan menunjukkan penampilan berbeza ketika mengiringi suaminya dalam lawatan ke Russia.
Peng, 50, yang sering dipaparkan televisyen diberi liputan besar media ketika menyertai Presiden Xi Jinping ke Moscow, lawatan rasmi pertama Xi sejak menjadi presiden awal bulan ini.


Peng menyaksikan persembahan tarian dan lagu di sebuah sekolah seni kelmarin tetapi tidak mengambil bahagian bersama pelajar.

Xi akan meneruskan lawatan ke Tanzania, Afrika Selatan dan Congo dengan Peng dijangka menghadiri majlis awam.

Akhbar China menyiarkan gambar Xi dan Peng turun berpegangan tangan dari pesawat sebaik tiba di Moscow, Jumaat lalu. Stesen CCTV menyiarkan laporan utama mengenai lawatan Peng ke sekolah seni berkenaan.

Tabloid Beijing News menyiarkan satu muka penuh berita mengenai Peng selain fotonya ketika Xi memberi ucapan.
Kuasa lembut

“Peng Liyuan menunjukkan kuasa lembut China sebagai Wanita Pertama ketika melawat negara asing,” kata akhbar itu yang memetik Wang Fan, Ketua Institut Hubungan Antarabangsa di Universiti Hal Ehwal Luar China sebagai berkata.

“Peng mempunyai imej yang terbaik di kalangan orang awam kerana latar belakangnya sebagai p penyanyi dan aktivis membanteras kemiskinan,” kata Wang.

Sebahagian besar liputan diberi kepada gayanya dengan laman web sina.com memuji pakaiannya adalah buatan firma tempatan di Chengdu, berbeza dengan ahli politik wanita China yang sering menggunakan jenama asing.

Sokong industri tempatan

“Beliau menunjukkan sokongan besar kepada industri tempatan China selain meningkatkan keyakinan diri dan rasa hormat rakyat China,” menurut satu ulasan di laman mikroblog Weibo oleh Lin Zhibo, ketua biro Parti Komunis di Gansu kepada People’s Daily.

Isteri pemimpin kanan China biasanya tidak diberi liputan meskipun mengiringi suami mereka ke negara luar.

Ia paling jelas dalam kes isteri Mao Zedong, Jiang Qing yang dibenci dan kemudian dipenjara kerana menindas musuh politik ketika Revolusi Budaya 1966-76.

Dalam kes lain, isteri bekas Perdana Menteri, Wen Jiabao, Zhang Peili, tidak pernah muncul di khalayak ramai bersama suaminya. -- BH

Terpaksa jual anak bayar rawatan suami

  • PDF

Bayi perempuan hanya dijual dengan harga RM284.82

Patna: Beberapa bulan selepas satu keluarga kelaparan terpaksa berpisah dengan anak mereka akibat kemiskinan melampau, seorang lagi wanita di Bihar menjual bayi perempuannya berusia dua bulan pada harga 5,000 rupee (RM284.82) untuk membayar bil perubatan suaminya yang sakit.
Shama Perveen, penduduk Isopur di Phulwarisharif di sini, menjual bayi perempuannya Nazia kepada penduduk kampung Shehzadi, beberapa hari lalu.

"Saya tiada pilihan lain kecuali jual bayi untuk dapat wang membayar rawatan suami," Shama Perveen, Penduduk Isopur

Ibu tiga anak itu terpaksa mengambil tindakan itu selepas tiada siapa membantu suaminya, Sarfaraz yang mengalami sakit dalam perut.

Tiada pilihan

“Saya bertanya hampir semua penduduk sekitar untuk bantuan kewangan tetapi tiada siapa mahu. Saya tiada pilihan lain kecuali jual bayi untuk dapat wang membayar rawatan suami,” kata Shama kepada media kelmarin.

“Saya kini resah selepas jual anak perempuan tunggal saya, namun apa yang dapat saya lakukan? Tiada jalan lain. Jika saya tidak lakukannya, suami saya akan mati.
“Doktor beritahu, dia perlu jalani pembedahan segera yang menelan belanja 5,000 rupee.

“Apabila susah hati, saya jumpa wanita itu untuk lihat bayi saya. Melihatkan bayi itu di pangkuannya, saya lega,” kata Shama.

Suaminya memperoleh wang dengan melakukan kerja mengecat, namun sejak beberapa bulan lalu, dia mengalami masalah kewangan meruncing kerana terpaksa berhenti kerja akibat masalah kesihatan.

Julai lalu, seorang wanita miskin dari blok Forbesganj di timur daerah Araria di Bihar menjual bayi lelaki empat bulan kepada pasangan Nepal dengan bayaran hanya 62 rupee (RM3.53) oleh kerana keluarga terbabit benar-benar dalam kesempitan hidup. Budak lelaki itu kini masih tidak dapat dikesan. -- BH

Pendatang boleh jadi rakyat Amerika

  • PDF

Washington: Rumah Putih merangka satu pelan membenarkan pendatang haram untuk menjadi warga tetap sah Amerika Syarikat dalam masa lapan tahun, lapor majalah USA Today semalam.

Rancangan terbabit akan memperuntukkan dana keselamatan tambahan dan memerlukan pemilik perniagaan untuk memeriksa status imigresen mana-mana pekerja baru dalam masa empat tahun.
Dianggarkan 11 juta pendatang haram di Amerika juga boleh memohon visa ‘Bakal Imigran Sah’, kata laporan itu.

Berdasarkan draf berkenaan yang didakwa USA Today diedarkan di kalangan pelbagai agensi kerajaan, pemohon visa juga perlu lulus pemeriksaan latar belakang jenayah, maklumat biometrik dan membayar yuran.

Kad pengenalan khas

Sebaik diluluskan, mereka dibenarkan untuk tinggal di Amerika secara sah, bekerja dan meninggalkan negara itu dalam tempoh singkat tanpa kehilangan status mereka.

Satu kad pengenalan baru juga akan membuktikan pendudukan sah mereka di negara itu.
Dalam masa lapan tahun, mereka boleh memohon kad hijau untuk mendapatkan taraf penduduk tetap sah jika mempelajari bahasa Inggeris, sejarah serta Kerajaan Amerika. Malah mereka juga dikehendaki membayar tunggakan cukai.

Dengan memiliki kad hijau, pendatang terbabit boleh memohon untuk mendapatkan kerakyatan Amerika.

-- BH

Menonton tv jejas sperma

  • PDF

London: Pemuda yang menonton televisyen cuma tiga jam sehari berisiko kehilangan kualiti sperma sehingga separuh.

Kajian menunjukkan kualiti sperma terjejas kerana kurangnya seseorang itu melakukan aktiviti fizikal.

Lelaki yang suka lepak pasti kalah kepada orang sederhana aktif, menurut kajian Universiti Harvard yang diterbitkan dalam Journal of Sports Medicine di sini.

Pakar berkata, kesannya boleh disebabkan kurang bersenam atau kepanasan melampau buah zakar disebabkan duduk lama.

Lelaki yang mahu memiliki anak kini digalakkan tidak memakai seluar ketat untuk menjaga kualiti sperma. Pemandu dan penunggang basikal juga berisiko berdepan masalah kesuburan.

Dalam kajian terbaru Sekolah Kesihatan Umum Harvard (HSPH), lelaki yang menonton televisyen lebih 20 jam setiap minggu memiliki kadar sperma 44 peratus lebih rendah berbanding mereka yang hampir tidak menonton televisyen langsung.

Lelaki yang bersenam 15 jam atau lebih seminggu pada kadar sederhana dan kuat memiliki bilangan sperma 73 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang bersenam tidak sampai lima jam seminggu. Senaman ringan tidak menjejaskan kualiti sperma.

-- BH

Rakyat sedia terima presiden bukan Jawa

  • PDF

Jakarta: Bekas naib presiden Indonesia, Jusuf Kalla, percaya rakyat negara itu bersedia melantik presiden yang bukan berketurunan Jawa, ketika latar belakang etnik ahli politik tidak begitu diberi perhatian pada peringkat kebangsaan.

Ketika ditemubual akhbar The Straits Times kelmarin, beliau berkata penduduk Jakarta menerima timbalan gabenor daripada etnik China, apabila melantik gabenor baru, Joko Widodo dan timbalannya, Basuki Tjahaja Purnama, tahun lalu.

Walaupun kesediaan itu mungkin mengambil masa lebih panjang untuk bertukar di kalangan penduduk luar kota raya itu, Jusuf, 70, yang berketurunan Bugis dari Makasar, berpendapat cuma 30 peratus penduduk mahukan presiden berketurunan Jawa, kumpulan etnik terbesar negara itu.

Amerika Syarikat memerlukan kira-kira 250 tahun untuk menerima presiden kulit hitam, 200 tahun bermazhab Katolik. Saya yakin kita sudah bersedia menerima presiden bukan berketurunan Jawa. Saya tidak rasa kita perlukan lagi 70 tahun.

Tiga daripada lima anak saya mengahwini pasangan berketurunan Jawa. Isteri saya dari Padang. Ia bukan perkara penting lagi kerana kita semua rakyat Indonesia. Mentua presiden dari Sumatera, katanya.

Rakyat Indonesia akan melantik presiden tahun depan dan meraikan ulang tahun ke-70 kemerdekaan pada tahun 2015, manakala Jusuf ialah salah seorang rakyat bukan Jawa yang bertanding sebagai presiden.

Beliau dijadualkan bercakap di Singapura hari ini mengenai cabaran yang dihadapi rantau itu.
Jusuf juga bakal menjadi satu-satunya calon dilahirkan sebelum merdeka berkata usia bukan satu isu.

Anda sudah kurang mendengar pemimpin mesti di kalangan orang muda. Ia lebih kepada rekod dan penampilan serta karektor, katanya.

Beliau juga mengambil tahu mengenai perkembangan perkara itu sebagai pengerusi Palang Merah Indonesia dan Majlis Masjid Indonesia, menjelajah seluruh negara mentadbir bantuan kemanusiaan dan bercakap kepada penuntut dan penduduk. -- BH