Monday, May 21st

Last update11:04:32 PM

Galeri Photo

Jangan manipulasi amalan demokrasi: TYT

  • PDF

KOTA KINABALU: Amalan demokrasi dan kebebasan bersuara tidak seharusnya dimanipulasi hingga mengorbankan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

 

Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, amalan berkenaan perlu dimanfaatkan oleh semua pihak untuk mengharmonikan hubungan dan persefahaman antara kaum dan agama.

Menurutnya, ia selaras dengan usaha membina kekuatan untuk membangunkan negara yang berdaya saing seterusnya berjaya mencapai wawasan.

 

Sejajar dengan aspirasi itu juga, beliau menyeru semua pihak agar tidak menyemarakkan sentimen agama dan perkauman demi mengekalkan keamanan hidup rakyat.

 

“Keharmonian dan keamanan yang kita kecapi ini perlu dipertahankan dan bukannya dirobek atau diperkotak-katik,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusannya sempena sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012 Peringkat Negeri di sini kelmarin.

 

Juhar mengingatkan mengenai misi besar yang tergalas di bahu setiap rakyat dalam memperkukuh persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan kualiti modal insan.

 

“Ini akan membolehkan kita bergerak seiringan dengan tuntutan menjadi umat yang terbaik dan contoh ikutan dalam membangun negara yang aman, maju dan makmur,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman menyeru agar masyarakat Islam mencontohi semangat dan daya juang Nabi Muhammad dalam mencipta kecemerlangan dan kejayaan umat Islan.

 

Katanya, ia meliputi aspek politik dan pentadbiran, ekonomi, keunggulan ilmu pengetahuan dan keadilan sosial.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul diharap dapat menyuntik semangat umat Islam untuk melipatgandakan usaha meningkatkan produktiviti dan inovasi.

 

“Bagi pihak kerajaan, kita akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan di seluruh negeri untuk mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi.

 

“Di samping itu, memiliki rakyat yang berkualiti, berketrampilan, berdaya saing, serta berilmu pengetahuan,” katanya.

 

Terdahulu, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Nasir Tun Sakaran berkata, sambutan Maulidur Rasul yang menjadi tradisi dalam masyarakat adalah antara platform yang berupaya menghimpunkan umat Islam yang berbilang kaum, budaya dan ideologi.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata, sambutan yang diadakan itu akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk semua yang hadir.

 

Katanya, keadaan itu akan memberi impak yang lebih bermakna terhadap usaha memperkukuh ukhuwah sesama masyarakat Islam.

 

“Pemilihan perkarangan masjid sebagai lokasi perhimpunan sambutan Maulidur Rasul tahun ini adalah sebagai satu usaha membawa umat Islam menghayati kembali sejarah kegemilangan masjid.

 

“Masjid adalah lambang kecemerlangan ummah pada masa silam khususnya pada zaman Rasulullah, para sahabat dan kerajaan Islam yang menyusul selepas itu,” katanya.

 

Usaha itu juga katanya untuk mengajak umat Islam supaya memberi nafas baru kepada usaha pengimarahan masjid ke arah menjadi institusi yang mendukung pelbagai fungsi secara holistik.

 

Pada majlis itu, Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Datuk Yusoff Kassim dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori lelaki manakala, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) Sabah, Datuk Noraini Haji Salleh penerima bagi kategori wanita.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Mohd Noor.

You are here Home
BLOG COMMENTS POWERED BY DISQUS