
Berhubung skandal kontrak bernilai RM43 juta yang kini dalam siasatan SPRM
PENAMPANG, 07 Februari: UMNO Bahagian Penampang tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan skandal kontrak bernilai RM43 juta di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Penampang , Dato' Fredie SUa menegaskan bahawa tidak ada seorang pun pemimpin bahagian itu termasuk beliau, pergerakan Pemuda dan Wanita terlibat dalam dakwaan berkenaan.
"Laporan itu seolah-olah membayangkan UMNO Penampang terlibat dalam skandal dakwaan berkenaan dan saya ingin tegaskan di sini bahawa bahagian ini tiada kaitan langsung,: katanya.
Satu laporan akhbar melaporkan baru-baru ini bahawa seorang ahli politik Sabah berusia 41 tahun, iaitu seorang 'Datuk' dan timbalan ketua UMNO terlibat dengan dakwaan dakwaan skandal berkenaan.
Ekoran laporan itu katanya, dia telah menerima banyak panggilan daripada rakan-rakan bertanyakan sama ada dia adalah orang yang dimaksudkan dalam laporan itu.
"Saya inign tegaskan di sini bahawa saya tidak ada kena mengena dengan sebarang kontrak di UMS. langsung tidak pernah," katanya.
Seorang jurucakap di UMS mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah datang ke kampus UMS berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan kontrak bernilai RM43 juta bagi kerja mekanikal dan penyelenggaraan elektrik di UMS.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Asli Jati Sdn. Bhd., Datuk Peter Anthony tampil untuk membuat pengesahan bahawa beliau adalah 'Datuk' yang dilaporkan disiasat oleh SPRM oleh sebuah akhbar tempatan.
Peter dalam sidang media menafikan dakwaan tuntutan palsu yang melibatkan kontrak bernilai RM43 juta yang dibiayai oleh kerajaan di UMS.
Beliau berkata, spekulasi itu hanya khabar angin dan ingin memburuk-burukkan imej beliau sebagai salah seorang pemimpin KDM Malaysia, iaitu sebuah badan NGO yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Peter juga menafikan yang beliau telah melarikan diri dari Sabah bagi mengelak siasatan SPRM seperti didakwa laporan media baru-baru ini.
"SPRM tidak mencari saya, sebaliknya saya telah memanggil mereka dan mereka juga ada bertemu saya di pejabat,"katanya yang juga Ketua Pengarah Operasi dan Bendahari Kehoramat KDM Malaysia.







